Page 103 - Annual Report UKM 2019
P. 103

 KOMUNITI
Pusat Pendidikan Komuniti UKM - CIMB Islamic
Pusat Pendidikan Komuniti UKM – CIMB Islamic Pos Gob, Gua Musang merupakan sebuah projek yang bersifat holistik berteraskan tiga perkara utama iaitu pendidikan, sosioekonomi dan kesihatan. Model yang dibangunkan UKM ini adalah yang pertama dan ia selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan orang Asli. Pos Gob terletak 95 kilometer dari Gua Musang, Kelantan dan penyelidik perlu merentasi banjaran Titiwangsa dalam memastikan objektif yang disasarkan tercapai.
Kelangsungan Pusat Pendidikan Komuniti UKM – CIMB Islamic Pos Gob diteruskan pada 2018 dengan penglibatan 38 orang murid antara umur 7-12 tahun bagi meneruskan pembelajaran di sini. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 63% dari jumlah murid pada 2017. Sumbangan kewangan CIMB Islamic bernilai RM1,573,000.00 adalah antara faktor pendorong kepada kelangsungan projek ini.
UKM mengambil inisiatif melatih lapan orang belia komuniti tempatan sebagai tenaga pembimbing yang menjadi kunci kepada perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baik di Pusat Pendidikan Komuniti. Pendekatan ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan di luar.
Pemerkasaan operasi dan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan merupakan agenda utama bagi memastikan kelestarian Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob. UKM berkeyakinan model ini akan menjadi pendekatan terbaik dalam memperkasakan komuniti orang Asli.
Pusat Komuniti Bestari Samsung
Kejayaan Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob menyakinkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk bekerjasama dengan Samsung Malaysia Electronics dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) bagi menubuhkan Pusat Komuniti Bestari Samsung. Pusat ini juga dikenali sebagai Samsung Smart Community Centre yang pertama di Malaysia bagi menangani isu-isu keciciran pendidikan orang Asli.
Kecanggihan teknologi di dalam tablet Samsung yang dilengkapi dengan aplikasi pendidikan UKM membolehkan 4,700 penduduk tempatan menimba ilmu dengan cara yang menarik dan menyeronokkan dan seterusnya meningkatkan taraf pendidikan kaum minoriti ini.
Majlis pelancaran program ini disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Y.A.B. Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu pada 28 Julai 2018 di kawasan pedalaman RPS Legap Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak.
Isu sosioekonomi dan kesihatan penduduk tempatan juga merupakan fokus UKM di Pusat Komuniti Bestari Samsung.
Pada 5-7 Oktober 2018, bengkel “Business Start Up & e-Usahawan” dan ToT saringan penglihatan orang Asli telah dijalankan bertujuan melatih komuniti untuk menjadi usahawan. UKM juga prihatin tentang kesihatan komuniti ini. Seramai 100 orang dari 13 buah kampung RPS Legap, Pos Yum dan Pos Kuala Mu menjalani pemeriksaan mata dan berjaya mengenal pasti 62 orang yang memerlukan bantuan cermin mata.
101
  UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA





















































































   101   102   103   104   105