Page 35 - Annual Report UKM 2019
P. 35

 033
   Bagi tahun 2018, dengan keterlibatan pusat-pusat tanggungjawab dan berpandukan Dasar Penjanaan Pendapatan UKM, hasil penjanaan keseluruhan UKM telah mencapai 32.3% atau RM426 juta daripada jumlah belanja mengurus. Yuran pengajian program akademik merupakan penyumbang terbesar iaitu RM143 juta dan perkhidmatan kepakaran dengan hospital sebagai penyumbang kedua terbesar iaitu RM89.9 juta. Ini diikuti RM49 juta hasil pelaburan, RM45 juta pendapatan penyelidikan, sumbangan dan tajaan bernilai RM33.5 juta, RM21.7 juta hasil barangan dan perkhidmatan, hasil sewaan sebanyak RM19 juta, RM15.6 juta daripada yuran penginapan serta pendapatan dari sumber lain berjumlah RM18 juta. Pencapaian ini merupakan lonjakan daripada 29% atau RM390 juta pada 2017 dan diunjurkan akan meningkat ke tahun-tahun seterusnya dengan perancangan dan strategi yang telah dan bakal dilaksanakan.
Usaha menggerakkan inisiatif pemerkasaan endowmen dan penjanaan kepada UKM terus digerakkan melalui 3P (Program, Pakar dan Prasarana). Inisiatif ini dilaksanakan bersama-sama PTj melalui rangkaian jaringan yang dijalin dengan pihak Kementerian, badan korporat tempatan dan antarabangsa serta kelompok alumni UKM dan individu perseorangan. Sepanjang 2018, UKM telah berjaya memperoleh sumbangan dan penajaan berjumlah RM23.95 juta dari pelbagai pihak.
UKM telah mewujudkan prasarana dan persekitaran kondusif meliputi keperluan prasarana fizikal dan perkhidmatan serta pembangunan teknologi secara maya dari semasa ke semasa selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (4IR). Selain penyediaan prasarana fizikal, UKM juga telah membangunkan beberapa aplikasi untuk kemudahan pelajar dan kakitangannya. UKM telah membangunkan aplikasi MyUKM, Gaya Siswa UKM, eDaftar dan Gerbang Warga dalam meningkatkan perkhidmatannya demi keselesaan kakitangan, pelajar dan orang ramai.
Pada 2018, UKM telah berjaya menyempurnakan beberapa projek baharu dan naik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, perkhidmatan, kolej kediaman, sukan dan rekreasi. Tidak ketinggalan, di HCTM dilaksanakan dalam projek naiktaraf perkhidmatan yang kondusif kepada pelanggannya melalui penyediaan Wad Diraja dan Wad Eksekutif. Melalui UKM Specialist Centre, UKM memiliki pusat rawatan barah dan ketumbuhan otak berteknologi tinggi iaitu Gamma Knife Centre yang dibina di HCTM. Pusat rawatan radiosurgery itu akan memberi manfaat kepada pelbagai jenis pesakit khususnya yang mempunyai ketumbuhan barah atau ketumbuhan bukan barah dalam otak.
UKM mengorak langkah dalam penyediaan kemudahan penginapan selesa dan kondusif serta menikmati kehidupan lestari dengan menaiktaraf Kolej Ibu Zain sebagai Kolej Premier pertama di kalangan Universiti Awam. Beberapa blok penginapan telah dinaik taraf beserta kemudahan lain seperti dewan besar dan kemudahan gelanggang futsal. Menerusi naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi, tajaan turut diterima untuk pembangunan fasiliti iaitu pembinaan Oval Kriket UKM-YSD oleh Yayasan Sime Darby yang merupakan oval bertaraf antarabangsa kedua di Malaysia.
Kejayaan yang berjaya dicapai pada 2018 membuktikan UKM berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah universiti terkemuka. UKM harus terus dilihat kerelevanannya, berdampak dan aktiviti kesarjanaannya memberi kesan sejahtera yang hebat, menyerlah dalam kepimpinan ilmu, dirujuk serta menjadi pelopor arah baharu yang terbaik. Kejayaan ini pasti akan memberikan kekuatan dan dorongan untuk kita mengejar kejayaan yang lebih cemerlang di masa hadapan. Sebagai Pendaulat Amanah Negara, diharap kita bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada UKM sebagai sebuah institusi kesarjanaan demi kesejahteraan masyarakat dan negara akan sentiasa diperkasakan secara lestari dan berintegriti.
 UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA



























































































   33   34   35   36   37