Page 21 - Demo
P. 21
JUMAAT | 25 Jun 2021 | 14 Zulkaedah 1442H
arena
21
BINTANG sensasi dunia, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke- 109 bersama Portugal ketika menentang Perancis untuk menyamai pencapaian bekas penyerang Iran, Ali Daei bagi rekod jaringan terbanyak antarabangsa.
Ronaldo, 36, yang juga penjaring terbanyak Kejuaraan Eropah menyempurnakan dua sepakan penalti untuk meraih rekod dalam penampilan ke-178.
Ronaldo kini menjaringkan
14 gol dalam Kejuaraan Eropah, lebih lima gol mengatasi legenda Perancis, Michel Platini yang menjaringkan sembilan gol untuk membantu Perancis muncul juara pada 1984.
Ronaldo menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ketika Portugal tewas 2-1 di tangan Greece pada aksi pertama Kejuaraan Eropah 2004.
Ali Daei yang bergelar ‘Shariar’ (Raja dalam bahasa Parsi) menyumbat 109 gol dalam 149 aksi bersama Iran pada 1993 hingga 2006, satu rekod yang dilihat tidak akan dipecahkan.
Bagaimanapun, beliau beberapa kali menegaskan gembira jika Ronaldo dapat memecahkan rekodnya.
Malah beliau percaya penyerang Juventus itu adalah antara tiga pemain terbaik dalam sejarah bola sepak bersama- sama Lionel Messi dan Diego Maradona.
“Tahniah kepada Cristiano Ronaldo yang kini hanya satu gol untuk memecahkan rekod jaringan antarabangsa terbanyak bagi bola sepak lelaki,” katanya menerusi Instagram.
“Saya bangga kerana pencapaian luar biasa ini menjadi milik Ronaldo. Juara bola sepak hebat dan insan penyayang yang menginspirasikan dan memberi impak di seluruh dunia,” ujar Ali.
Pada 2018 Ali pernah berkata: “Rekod dibuat untuk dipecahkan.
“Ronaldo sememangnya mempunyai kualiti untuk melakukannya.
“Saya begitu menghormatinya. Dia adalah pemain hebat yang tidak perlu diberikan pujian,” ujar Ali.
PENJARING LEGENDA... Ali Daei (kiri) kini berkongsi jaringan dengan Ronaldo. Yang pasti, Ronaldo bakal mencipta rekod baharu sedikit masa lagi.
Mokhtar Dahari juga penjaring hebat!
Ronaldo sehebat Ali Daei
LEGENDA bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pernah memegang takhta penjaring terbanyak sepanjang zaman suatu ketika dahulu.
Berdasarkan beberapa statistik, Mokhtar menjaringkan 89 gol dalam 142 aksi bersama pasukan Malaysia.
Pencapaian 89 gol itu dicipta sehingga 1991, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun yang sama.
Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 perlawanan.
Jadi, secara tidak langsung Mokhtar pernah memegang gelaran penjaring terbanyak dunia ketika itu.
Namun rekod berkenaan dipintas legenda bola sepak Iran, Ali Daei yang memulakan koleksi 109 golnya pada 1993.
Bagaimanapun, dua gol daripada pemain Portugal, Cristiano Ronaldo menyaksikan dia turut meledak 109 gol, sekali gus terikat dengan Daei bagi gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Ronaldo hanya memerlukan satu lagi gol untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman yang mutlak.
MALANG... Ronaldo dibaling dengan botol coca-cola.
Ronaldo dibaling dengan cawan
PEGAWAI keselamatan terpaksa mengawal Cristiano Ronaldo daripada penceroboh padang selepas seorang penonton membaling cawan dan botol minuman Coca-Cola.
Ia berlaku ketika beliau meraikan jaringan penalti keduanya, untuk membantu Portugal terikat 2-2 dengan Perancis dalam aksi terakhir Kumpulan F semalam.
Pegawai keselamatan, kemudian campur tangan bagi meleraikan situasi selepas seorang penonton menceroboh padang ketika Ronaldo terus berwaspada selepas melihat balingan botol ke arahnya.
Insiden itu berlaku seminggu selepas penyerang Juventus berkenaan mengalih dua botol coca-cola, sebelum sesi sidang media yang mencetuskan kontroversi terhadap penajaan.
Namun, selepas pemain Perancis, Paul Pogba mengekori jejak Ronaldo dengan mengalihkan botol minuman keras, UEFA memberi amaran kepada pasukan untuk tidak menghalang produk penaja.
Ronaldo dilihat mengusap belakang tengkuknya selepas dibaling cawan.
Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu mempunyai alasan untuk menikmati jaringan tersebut.
Jaringan itu meletakkan beliau melepasi rekod dilakukan bekas penyerang Jerman, Miroslav Klose dalam kejohanan besar dengan 19 gol.
Pencapaian itu juga menjadikan Ronaldo menyamai rekod bintang Iran, Ali Daei dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa.
PENJARING TERBANYAK SEPANJANG ZAMAN
1. Ali Daei (Iran),
Cristiano Ronaldo (Portugal) 109 gol 2. Mokhtar Dahari (Malaysia) 89 gol 3. Ferenc Puskas (Hungary) 84 gol 4. Godfrey Chitalu (Zambia) 79 gol 5. Hussein Saeed (Iraq) 78 gol
6. Pele (Brazil) 77 gol
7. Ali Mabkhout (UAE) 76 gol
8. Sandor Kocsis (Hungary) 75 gol
Mokhtar Dahari
21