Page 13 - majalah bidayuh pep (1)final 2
P. 13

PERKAHWINAN






       Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada
       kemampuan ekonomi keluarga pengantin. Dalam masyarakat

       Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas berkahwin bergantung pada
       banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi pasangan
       yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh
       mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama
       keluarganya (amalan virilokal) dan begitulah sebaliknya

       (uksorivokal). Dalam keadaan perkahwinan suami isteri yang
       sudah stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri (amalan
       neolokal).



       Kumpulan Dayak Selako melarang pergaulan bebas antara lelaki
       dan perempuan. Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa'
       melalui amalan yang dikenali sebagai 'batangkap'. Ini merupakan
       amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap dilihat

       berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung
       supaya tindakan dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju
       untuk berkahwin setelah dibicarakan oleh pemimpin serta

       penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai suami isteri
       boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda
       atas kesalahan mereka telah dijelaskan. Amalan batangkap
       dilakukan atas pasangan yang menghadapi tentangan daripada ibu
       bapa.



       Satu lagi cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan
       'nyagam', apabila bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar

       bantalnya ke kediaman bakal isteri setelah mendapat persetujuan
       daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih untuk
       berkahwin cara demikian ialah seorang duda atau balu.


       Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako,

       Jagoi dan Lara ialah perkahwinan yang melibatkan pengetahuan,
       peranan dan perancangan oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak.
       Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang perantaraan

       atau dikenal sebagai picara dalam kalangan masyarakat Selako
       untuk mewakili pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari
       dan masa yang sesuai akan ditetapkan.
   8   9   10   11   12   13   14   15   16   17   18