Page 76 - KPKM
P. 76

75   |  LAPORAN TAHUNAN ‘23




          USAHA KPKM DALAM MEMPERKASAKAN KETERJAMINAN MAKANAN SERTA MEMBANTU
          MENGAWAL KENAIKAN HARGA
          Pada 2023, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi beberapa cabaran ekonomi khususnya
          inflasi makanan. Antara punca utama adalah:

              a.  Gangguan rantaian bekalan global serta harga komoditi yang tinggi terutamanya
                  gandum, minyak sayuran serta makanan ternakan;

              b.  Pengukuhan Dolar Amerika Syarikat berbanding Ringgit Malaysia; dan

              c.  Cuaca ekstrem yang menjejaskan pengeluaran makanan tempatan.

          Susulan itu, cabaran  kekurangan  bekalan ayam dan  telur  ayam  yang bermula  pada  2022 masih
          berterusan sehingga suku tahun ketiga 2023. Kawalan harga yang berpanjangan telah memberi
          kesan kepada beban kewangan Kerajaan melalui pemberian subsidi sehingga RM3.67 billion serta
          ketidakstabilan bekalan ayam dalam pasaran. KPKM sebagai urus setia Jawatankuasa Kumpulan Kluster
          Makanan, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) telah mengambil langkah proaktif dengan
          mengutarakan beberapa cadangan pengapungan harga ayam dan telur dalam Majlis Tertinggi NACCOL
          yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

          Susulan daripada syor KPKM tersebut, pada 1 November 2023, Kerajaan telah bersetuju untuk
          mengapungkan harga ayam selari dengan situasi harga makanan ternakan dunia yang mulai turun
          dan stabil. Tindakan ini telah mengembalikan keyakinan penternak untuk membekalkan ayam yang
          mencukupi di pasaran. Manakala, telur ayam masih dikenakan harga kawalan dan diberikan subsidi
          bagi memastikan sumber protein termurah dapat diperolehi oleh semua lapisan masyarakat.

          Selain itu, KPKM melalui kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga
          Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah menjenama semula
          “Jualan Terus Dari Ladang” kepada Jualan Agro MADANI sebagai tanda sokongan kepada aspirasi
          Keluarga MADANI Kerajaan. Program ini merupakan salah satu inisiaitif KPKM di bawah Kumpulan
          Kluster Makanan NACCOL yang bertujuan untuk meningkatkan akses rakyat kepada makanan  dengan
          memasarkan barangan pertanian terpilih pada harga 10% hingga 30% lebih murah daripada pasaran.
          Lokasi jualan juga diberi lebih tumpuan kepada kawasan yang mempunyai penduduk B40 dan
          berkepadatan tinggi bagi liputan yang lebih luas. Sehingga 31 Disember 2023, sejumlah 5,608 sesi jualan
          telah dilaksanakan berbanding 5,000 sesi (112%) yang dirancang bagi tahun 2023 yang melibatkan
          seramai 74,841 orang usahawan. Nilai jualan yang dicatatkan adalah sebanyak RM93.7 juta dan
          penjimatan sebanyak RM27.8 juta.
   71   72   73   74   75   76   77   78   79   80   81