Page 4 - Tinta Aksara 2021
P. 4
Usaha membangunkan generasi muda yang berketerampilan, berbangsa dan berbudaya bukan suatu tugas yang
mudah. Namun, dengan iltizam pelbagai pihak termasuk para guru, ibu bapa, masyarakat umum, sekolah dan Kementerian Pendidikan, usaha tersebut pasti akan membuahkan hasil yang lumayan.
Dalam membelek-belek halaman yang terdapat dalam Tinta Aksara ini, kita akan mendapati bahawa ciri-ciri pelajar arif budiman sudahpun tertanam dalam kalangan para pelajar yang mengikuti program EMAS dan MLEP di peringkat sekolah menengah. Setiap karya kreatif yang telah dihasilkan mereka, baik dalam bentuk cerpen, syair, pantun mahupun sajak, dan penulisan berupa esei sastera mencerminkan kematangan fikiran dan keupayaan berbahasa mereka yang ampuh. Kepekaan dan keprihatinan mereka terhadap isu-isu di sekitar dunia mereka jelas terakam dalam karya-karya yang disajikan dalam Tinta Aksara ini. Persoalan kemanusiaan yang mencakupi pelbagai bidang turut disentuh. Tidak kurang pula karya-karya yang berupa nasihat buat rakan sebaya berkenaan persoalan bahasa, budaya, maruah dan jati diri, sekaligus menjadi rakaman salah satu sikap afektif Melayu terhadap sesamanya, sebagaimana digambarkan dalam ungkapan: yang tua dihormati, yang sebaya dikasihi, yang muda disayangi.
Laporan-laporan kegiatan EMAS dan MLEP kendalian pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan yang disajikan para pelajar pula tidak hanya mencerminkan keupayaan
berbahasa mereka dalam menghasilkan penulisan fungsional berbentuk laporan dengan baik. Malah, renungan-renungan peribadi yang tersisip dalam laporan yang dihasilkan mereka membuktikan bahawa para pelajar EMAS dan MLEP benar-benar mengikuti dan menghayati kegiatan-kegiatan kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan. Semangat mereka untuk terus menimba ilmu dan kemahiran dalam ranah kebahasaan, kebudayaan dan kesusasteraan ini wajar dipuji dan akan terus menyalakan harapan kami untuk melihat keberlangsungan dunia bahasa dan sastera yang diserikan lagi dengan kehadiran golongan pelapis yang akan terus menghidupkan dan memajukan kebudayaan kita.
Akhirsekali,sayainginmengucapkanterima kasih kepada guru-guru yang sentiasa memberikan komitmen penuh dalam mendidik dan membimbing para pelajar kita dan juga para ibu bapa atas sokongan dan dorongan yang telah diberikan. Kepada para pelajar EMAS dan MLEP yang dikasihi, saya ingin menyeru agar para pelajar terus mengambil peluang untuk meningkatkan pemahaman dan apresiasi terhadap kebudayaan kita yang cukup kaya dan tinggi nilai estetika dan falsafahnya. Semoga kita menjadi manusia berbangsa seperti yang diungkapkan oleh pujangga Tenas Effendy:
Apa tanda orang berbangsa Bercakap tahu berbudi bahasa Berkata arif dalam berbahasa Bertutur bijak berkata-kata.
Selamat menikmati Tinta Aksara 2021!
Puan Salbiah Abas
Timbalan Pengarah Cawangan Bahasa Ibunda Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Singapura
2
i
S
r
u
r
e
h
p
ka
e
S