Page 98 - Sejarah Tamadun Islam 2
P. 98
84
sejarah tamadun islam 2
A. Kerangka Dasar Estetika Menurut Cara Pandang Alam Islam
Berdasarkan kerangka pandangan alam Islam, seni tidak dibedakan dari ibadah, tidak dibedakan antara perenungan Tuhan dan perenungan tentang ciri-ciri asli kesenian, dan akhirnya tidak dipisahkan antara peranan mengingat Allah SWT dan peranan kesenian di dalam kehidupan Muslim baik secara individu ataupun berkelompok. Di dalam kesenian Islami, cara pandangan alam Islam meletakkan syariah sebagai aspek yang penting dan menciptakan satu latar belakang dan suasana bertepatan bagi kesenian. Perihal ini memberikan ciri khas yang unik bagaimana estetika dilihat dari cara pandang alam Islam.
Estetika yang berlandaskan syariah berperan sebagai penentu batasan- batasan di dalam menghasilkan karya-karya seni. Oleh itu, seseorang yang terlibat dalam seni perlu memberi perhatian kepada sifat-sifat terpuji terutama berkaitan dengan aspek ihsan seperti yang ditekankan dalam disiplin dan tradisi tasawuf sebagai suatu perbuatan menjalankan syariah di dalam peringkat sesempurna mungkin dan sesuai dengan hakikat sesuatu kewujudan.
Kesenian di dalam Islam merupakan perkara taḥsīniyyāt yang mengingatkan kita kepada Tuhan dan janji-janji kita sebagai hamba- Nya. Sifat seni di dalam Islam tidak menampakkan sifat sombong dari insan. Kesenian Islami tidak sebatas memenuhi keadaan sosio-politik seorang Muslim yang dapat menurunkan martabat seni yang asalnya membawa muatan rohani dan intelektual serta sakral kepada perkara- perkara luaran yang bersifat kebendaan dan duniawi. Sedangkan segala bentuk kewujudan menurut cara pandangan alam Islam adalah berasal dari Allah SWT. Hakikat dari segala kewujudan memuncak kepada al- Ḥaq - salah satu nama Allah SWT - dan hakikat setiap benda merujuk secara muktamad hanya kepada-Nya. Oleh itu, melihat kepada objek seni perlu ditekankan dimensi dalaman yang sesuai dengan hakikatnya bukan terhenti kepada sifat-sifat luaran sahaja (shūrah).