Page 178 - Saujana Pujangga 2022
P. 178
FORUM
Ruangan forum ini memaparkan catatan pelajar tentang isu-isu terkini. Yang berikut ialah pandangan pelajar MLEP tentang beberapa isu.
Remaja dan TikTok
JPJC
176 Saujana Pujangga 2022
Hanis Zuhairah Binte Mohd Yazid
Memang tidak dapat dinafikan bahawa aplikasi TikTok semakin popular sehingga menjadi kegemaran ramai pengguna media sosial terutama sekali dalam kalangan remaja. TikTok bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan, bahkan, TikTok juga memainkan peranan penting dalam mendidik serta meningkatkan kesedaran para pengguna. Melalui aplikasi TikTok, remaja dapat meraih pelbagai manfaat meskipun terdapat pengaruh-pengaruh buruk di sebaliknya. Misalnya, mereka dapat menonton video-video yang ringkas namun padat tentang pengajaran hidup, nasihat, berita terkini atau hanya sekadar hiburan. Sejujurnya, sebagai pengguna TikTok, tekanan mental dapat dikurangkan setelah menonton video- video tersebut. Dengan hanya meluangkan sedikit masa melalui aplikasi TikTok, remaja juga boleh mendapat ilmu pengetahuan dengan begitu pantas. Namun, remaja perlu bertanggungjawab semasa menggunakan TikTok agar tidak terlalu taksub dengan kandungan yang dipaparkan. Ini akan memudaratkan diri mereka sendiri sekaligus menyebabkan kerugian seperti membuang masa yang berharga. Natijahnya, budaya TikTok dalam remaja membawa kedua-dua kebaikan dan keburukan. Remaja haruslah bijak apabila menggunakan TikTok!
Nur Hikmah Binte Rohaizat
Dewasa ini, budaya TikTok semakin berleluasa dalam masyarakat, terutama sekali dalam kalangan remaja. Budaya ini seringkali dikaitkan dengan gejala yang kurang positif disebabkan beberapa trend dan perkembangan yang pelbagai — iaitu trend cabaran yang melibatkan aksi berbahaya.
Namun adakah TikTok seratus peratus negatif? Pada hemat saya, hal ini bergantung pada individu sendiri. Terdapat juga video-video di TikTok yang berfaedah, seperti perkongsian ilmu baharu seperti guru berkongsi tip-tip pembelajaran, pendakwah memuatnaikkan ilmu-ilmu agama, dan macam-macam lagi. Kendatipun begitu, saya berasa bahawa remaja seperti saya perlu lebih berhati-hati dalam memuat naikkan naikkan video dalam TikTok. Kita harus senantiasa beringat-ingat dalam apa jua hantaran yang dimuatnaikkan di media sosial seperti TikTok agar tidak menyesal pada kemudian hari, kerana kandungannya akan diingati selama-lamanya.