Page 46 - Saujana Pujangga 2022
P. 46
DIARI
DUTA BAHASA JPJC MENGAJAK PELAJAR
M(SP) KENAL BUDAYA MELAYU
Hanis Zuhairah Binte Mohd Yazid Nur Hikmah Binte Rohaizat
JPJC
Pada tanggal 29 Mac dan 5 April yang lalu, para pelajar Tahun 1 MLEP Maktab Rendah Jurong Pioneer (JPJC) telah berpeluang untuk berinteraksi bersama Pelajar Menengah Dua Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) melalui program Duta Bahasa. Para pelajar RVHS mengikuti Bahasa Melayu (Program Khas) atau M(SP), iaitu sebuah program khas bagi pelajar yang mengambil Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga.
Program yang berlangsung selama dua jam ini dilaksanakan sebanyak dua sesi melalui wadah Zoom. Para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kelas- kelas pelajar RVHS. Setelah taklimat ringkas oleh guru dari RVHS, iaitu Cikgu Nur’ain yang juga bertindak selaku fasilitator, sesi dimulakan dengan setiap pelajar memperkenalkan diri masing-masing. Peranan sebagai Duta Bahasa bermula apabila pelajar-pelajar MLEP berkongsi tentang budaya Melayu dengan para pelajar dari RVHS. Antara perkongsian termasuklah tentang makanan orang Melayu, permainan tradisional, pakaian tradisional serta seni warisan masyarakat Melayu. Dalam penyampaian kami, kami cuba menggunakan ayat-ayat yang mudah agar dapat difahami oleh pelajar-pelajar RVHS.
Semasa sesi soal jawab, pelajar-pelajar RVHS banyak bertanyakan soalan lanjut tentang budaya Melayu seperti adat perkahwinan, kepercayaan tentang hantu dan pantang larang Melayu. Yang pasti, para pelajar
JPJC seronok menjalankan aktiviti tersebut, lebih-lebih lagi apabila para pelajar RVHS menunjukkan minat mereka dalam menimba ilmu baharu tentang bahasa, budaya dan adat orang Melayu.
Pelbagai manfaat dapat diraih oleh kedua- kedua pihak. Bagi pihak kami, kami berpeluang untuk berkongsi tradisi dan budaya orang Melayu kepada para pelajar RVHS yang bukan berbangsa Melayu. Sebagai anak jati Melayu, kami berbesar hati kerana mampu menyampaikan ilmu pengetahuan tentang bahasa dan budaya kita kepada mereka. Kami menerangkan kepada mereka tentang budaya Melayu yang merangkumi makanan, aktiviti seni dan pakaian tradisional. Misalnya, untuk seni warisan budaya Melayu, kami berkongsi tentang lukisan batik dan silat manakala bagi pakaian tradisional, kami memperkenalkan baju Melayu Cekak Musang dan Teluk Belanga serta memastikan bahawa mereka tahu perbezaan antara dua jenis baju Melayu itu. Manfaat yang pasti dicapai oleh para pelajar RVHS ialah pengalaman menyertai program ini dan ilmu pengetahuan yang diraih. Melalui aktiviti ini, mereka dapat memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya kita.
Yang pasti, program perkongsian ini amat berkesan kerana pelajar berbangsa Cina dapat mengenali budaya kita. Ini kerana melalui sesi se begini, nilai-nilai murni seperti sikap saling memahami dan hormat-menghormati dapat dipupuk dalam diri para pelajar.
44 Saujana Pujangga 2022