Page 5 - BUKU PENGURUSAN SKG 2019
P. 5
Dari Meja Tuan Guru Besar
Assalamualaikum w.b.t, Selamat sejahtera, Salam satu Malaysia dan Salam Muafakat
Johor. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin-Nya dapat bersua kembali dalam
sesi persekolahan 2019. Tahun ini dan tahun-tahun mendatang adalah tahun yang lebih mencabar..
Sekarang kita berada dalam gelombang ke-2 2016-2020 PPPM dan tahun kedua UPSR edisi KSSR.
Tentunya tahun-tahun mendatang adalah lebih mencabar dengan Pembelajaran Abad Ke-21,
PAK21, KBAT dan sebagainya. Sebagai pendidik kita telah meterai dalam akujanji perkhidmatan
dahulu seharusnya bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi apa jua cabaran yang
bakal mendatang.
Dengan izin-Nya, Buku Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Gersek (SKG),
Tangkak 2019 dapat diterbitkan sebagai panduan perancangan guru di sekolah bagi
melaksanakan semua program sepertimana yang telah dirancang. Sekalung tahniah dan setinggi
penghargaan kepada semua guru terutamanya jawatankuasa SKG, 2019 yang telah menghasilkan
buku ini dengan jayanya dan dapat dirujuk sebagai panduan dalam menjalankan tugas sepanjang
tahun ini.
Sesi persekolahan 2018 telah berlalu dan alhamudulillah, kita telah melakukan yang
terbaik untuk anak didik kita sepanjang sesi berkenaan. Keputusan UPSR yang baru diumumkan
menunjukkan sedikit penurunan dari segi kualiti kecemerlangan. Bagaimanapun, kita mampu
mencapai peratus keseluruhan murid yang menguasai semua mata pelajaran adalah 57.10%
dengan Gred Purata Sekolah 2.76 dan seorang murid memperolehi 4A 2B. Walaupun tidak
mencapai sasaran tetapi masih boleh menjadi penyuntik semangat untuk kita lebih berjaya di
tahun 2019. Begitu juga LINUS 2.0 kita masih mencapai tahap yang membanggakan, di mana hanya
Literasi Bahasa Inggeris bagi Tahun 1 yang tidak melepasi KPI yang ditetapkan. Alhamdulillah, ini
semua adalah berkat hasil usaha gigih semua pihak tanpa mengenal erti jemu dan penat. Terima
kasih, syabas dan tahniah saya ucapkan buat semua guru dan warga Sekolah Kebangsaan Gersek
atas kejayaan ini. Hanya Allah yang dapat membalasnya.
Sebagai memenuhi hasrat dan aspirasi negara, tugas guru merupakan tonggak utama
dan tulang belakang dalam melahirkan modal insan kelas pertama yang bertaraf dunia, justeru apa
jua tugas dan peranan yang diberikan harap dapat dipikul dengan penuh keikhlasan dan kejujuran
sebagaimana ikrar dan janji seorang guru untuk membina bangsa yang bersahsiah,
berketerampilan dan berilmu.