Page 14 - AKTA MAKANAN 63
P. 14
1/16/2020 LawNet Malaysia
AKTA 281
Akta Makanan 1983 [Cetakan Semula 2005]
BAHAGIAN II - PENTADBIRAN DAN PENGUATKUASAAN
Seksyen 8. Kuasa meminta maklumat
(1) Jika mana-mana pegawai diberi kuasa berpendapat bahawa ada alasan yang munasabah bagi mengesyaki
bahawa mana-mana orang ada memiliki apa-apa makanan atau lain-lain bahan atau apa-apa perkakas bagi maksud
atau ada kaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau
penjualan makanan dengan melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di
bawahnya maka dia boleh menghendaki orang itu supaya mengemukakan untuk pemeriksaannya apa-apa buku,
dokumen atau rekod lain atau apa-apa maklumat lain berhubung dengan pengimportan, penyediaan, penerimaan,
pemilikan, pembelian, penjualan atau penyerahan makanan itu atau lain-lain bahan atau apa-apa perkakas.
[Mas. Akta A1117:s.(1)]
(2) Mana-mana pegawai diberi kuasa yang disebutkan dalam subseksyen (1) boleh membuat atau menyebabkan
dibuat salinan atau cabutan daripada mana-mana buku, dokumen atau rekod itu, atau apa-apa maklumat lain dan
salinan atau cabutan itu yang diperakui sedemikian oleh pegawai diberi kuasa itu hendaklah, melainkan jika
dibuktikan sebaliknya, disifatkan sebagai salinan atau cabutan yang benar dan betul.
(3) Mana-mana orang yang enggan atau cuai mematuhi kehendak yang dibuat menurut seksyen ini adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda atau
kedua-duanya.
(4) Mana-mana pegawai diberi kuasa yang—
(a) tidak menyimpan rahsia mengenai semua perkara yang sampai kepada pengetahuannya pada
melaksanakan kewajipan rasminya di bawah seksyen ini; atau
(b) menyampaikan mana-mana perkara itu kepada sesiapa jua kecuali bagi maksud menguatkuasakan
peruntukan Akta ini,
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
didenda atau kedua-duanya.
https://www.lawnet.com.my/lawlibrary/directsubdocumentdetailsExt/?SubdocumentID=339029 1/2