Page 122 - Koleksi Penuh.Updated
P. 122
JURNAL
GERAKAN DAKWAH NEGERI PERAK
2022/1444H
Himpunan makalah ini adalah usaha menyerlahkan watak gerakan melalui
pengalaman, sintesis, pengupaayan, perencanaan dan pembentukan jati diri
demi memastikan masyarakat faham akan asas alam Islam. Sudah tentu ia
seiring dengan pandangan Almarhum Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam
versi coretan kertas kerja seperti berikut ;
“...Setelah diperkaya dan diperkasa oleh Islam, bahasa Melayu yang juga disebut
bahasa Jawi terangkat martabatnya sebagai bahasa agama, bahasa ilmu dan
bahasa tamadun tinggi. Buat kali pertama bahasa Melayu mendapat tulisan yang
praktikal iaitu tulisan jawi yang diambil dari abjad Arab dengan beberapa
tambahan huruf untuk melambangkan bunyi-bunyi khusus dalam bahasa
Melayu yang tidak ada dalam abjad Arab seperti bunyi ga, ca, nya dan pa. Sejak
itulah terbangunnya tamadun keilmuan berbahasa Melayu sebagaimana yang
terbukti dari khazanah karya tulis para ilmuwan Melayu dengan liputannnya
yang cukup luas termasuk bidang `aqidah, fiqh, tafsir, hadith, tasawwuf, falak
dan sebagainya, di samping karya-karya sastera yang meliputi pelbagai genre.
Demikianlah, setelah diperkaya dan diperkasa, bahasa Melayu mampu menjadi
bahasa transformasi umat, dari bangsa berbudaya jahiliah menjadi umat
beragama dan bertamadun Islam. Justeru, bahasa Melayu adalah bahasa rakyat
yang membentuk pandangan sarwa (worldview ) dan pola fikir mereka. Bahasa
Melayu juga adalah bahasa kesatuan, bahasa umat sealam Melayu, daratan dan
kepulauannya. Kesatuan bahasa itulah pula yang menghasilkan kesatuan tradisi
keintelektualan Melayu atau kesatuan tradisi keilmuan berbahasa Melayu..”
(Hidup Berakal, Mati Beriman:kembali Ke Akar Melayu-islam)