Page 66 - Monograf Persuratan Melayu
P. 66
Monograf Persuratan Melayu 2022
diperturunkan. Dalam konteks perubatan Melayu, sirih banyak digunakan secara
tunggal ataupun digabungkan dengan bahan-bahan lain untuk kegunaan perubatan
seperti bagi mengubati penyakit berkaitan paru-paru seperti asma dan batuk, demam,
demam panas, penyakit kelamin, keputihan serta menghilangkan bau mulut. Sehingga
ke hari ini, sirih masih dipercayai sebagai antara herba yang penting bagi menjaga
kewanitaan Melayu. Secara tradisional, sirih dijadikan amalan sebagai basuhan
khususnya bagi wanita yang telah berkahwin dan selepas bersalin.
Walaupun tradisi ini masih dikekalkan, namun tabiat memakan sirih semakin
terpinggir dan hanya diamalkan oleh golongan tua. Sirih akan tetap diangkat sebagai
satu seni yang mempunyai falsafah tersendiri dalam budaya Melayu. Tepak sirih khas
digunakan sebagai barang perhiasan dan dalam upacara-upacara rasmi. Oleh kerana
tepak sirih penting dalam adat istiadat, ia tidak layak digunakan sembarangan,
tambahan pula harganya mahal dan susah untuk dijaga dan dibersihkan.
Semasa Kerajaan Melayu Melaka dipertengahan abad ke-15, diceritakan
bahawa pahlawan legenda Hang Tuah telah memberikan kepada Hang Jebat sepiak
sirih di dalam tepak sirih kepunyaan Sultan Mansur Syah semasa berhenti rehat dalam
pertarungan, sebelum merampas keris sakti bernama Taming Sari daripada tangan
Hang Jebat dan membunuhnya di atas penderhakaan Hang Jebat terhadap Sultan
Melaka. Pada zaman awal Kesultanan Melayu Perak, terdapat dua buah tepak sirih
yang diperbuat daripada emas bernama Puan Bujur dan Puan Naga Taru telah
dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia ketika itu. Ia masih tersimpan
sebagai khazanah berharga istana Sultan Perak hingga kini. Oleh itu, jelaslah betapa
rapatnya sirih dalam kehidupan orang Melayu sebagai alat komunikasi dalam
kehidupan harian mereka.
Pertunangan dan Perkahwinan Masyarakat Melayu
Masyarakat Melayu menjadikan perkahwinan sebagai satu ikatan
kekeluargaan di dunia dan di akhirat. Ikatan kekeluargaan itu pula adalah
berlandaskan perkahwinan yang mengikut hukum syarak dan adat masyarakat
Melayu. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan soal adat iaitu ketertiban
peraturan daripada sebelum perkahwinan sehinggalah majlis selesai. Ketertiban
peraturan tersebut adalah tatacara komunikasi dalam masyarakat Melayu yang
digunakan ketika proses perkahwinan itu berlangsung. Setiap perkara yang
membabitkan adat dilakukan dengan tertib iaitu daripada mula hinggalah ke akhir
sebagaimana yang terdapat dalam perbilangan adat Melayu, “Berbilang dari Esa,
mengaji dari alif”.
60