Page 70 - Monograf Persuratan Melayu
P. 70
Monograf Persuratan Melayu 2022
Dalam gambarajah 3 diperlihatkan foto sebuah tepak sirih yang diperbuat daripada
kain baldu berwarna merah dan ditekat mengan benang emas. Kain baldu ini
membalut kotak kayu (rumah) tepak sirih.
Dalam kebudayaan Melayu, sirih (Piper betle L.) melambangkan rendah diri
dan kehormatan sepertimana dapat diperhatikan daripada pepohon sirih yang menjalar
dan memanjat tanpa merosakkan tumbuhan perumah. Masyarakat Melayu terdahulu,
melihat gabungan sirih, kapur, pinang dan gambir secara simboliknya menjelaskan
setiap ciri yang perlu ada sebagai orang Melayu. Sekapur sirih yang dicantumkan
menjadi satu menggambarkan corak kehidupan masyarakat Melayu yang
mementingkan adat dan nilai dalam bermasyarakat. Kelima-lima elemen yang
melengkapkan sirih ini turut mengingatkan masyarakat Melayu mengenai lima rukun
Islam yang perlu diamalkan bagi kehidupan yang aman dan damai.
Dulang tepak sirih ini dibahagikan kepada dua bahagian, di bahagian atas
disusun empat cembul mengikut susunan iaitu pinang, kapur, gambir dan tembakau.
Di bahagian bawah pula disusun cengkih, sirih dan kacip. Begitu juga dengan tepak
sirih yang berbentuk bulat, cembul akan disusun keliling di dalamnya mengikut
aturannya. Masyarakat Melayu menamakan tepak sirih berbentuk bujur sebagi puan
dan tepak yang berbentuk empat segi bujur. Terdapat juga daun-daun sirih ini
dimasukkan ke dalam bekas sirih terlebih dahulu, ia tidak disisipkan di dalam tapak
begitu sahaja, ini supaya ia kelihatan lebih teratur dan kemas.
Bagi masyarakat Melayu, sirih disusun sedemikian rupa untuk menunjukkan
tertib ketika mengapur sirih, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian
dikemudiankan. Daun-daun sirih yang disusun dalam tepak sirih hendaklah dilipat
bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya, disusun sebanyak lima atau
enam helai dalam satu baris. Satu tepak sirih selalunya mengandungi empat atau lima
susun sirih tadi. Sirih yang berlipat ini wajib dibuat kerana hendak mengelak daripada
terlihat ekor sirih itu. Ekor sirih tidak boleh dinampakkan kerana pada anggapan
mereka ini adalah satu keadaan yang kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.
Tepak sirih yang telah lengkap ini dihias dengan bunga dan dibungkus dengan kain
songket. Tepak sirih seperti ini dinamakan tepak sirih adat.
Tepak sirih terdiri daripada komponan berikut: bekas sirih, cembul, bujam
epok, kacip, gobek, celepa dan ketur. Tetapi kini budaya makan sirih jarang
menggunakan lagi bujam epok sebagai satu peralatan lengkap. Manakala kandungan
64

