Page 75 - Monograf Persuratan Melayu
P. 75
Monograf Persuratan Melayu 2022
Suratnya kali ini
sekalipun bertele-tele
lagi luar biasa panjang
berbanding selalu
tetapi tiada apa-apa isi
selain ceritera tentang kemalangannya
teramat parah
dengan seorang gadis sekolah
anak jiran sebelah rumah sewanya.
Berdasarkan beberapa pandangan yang dirakamkan di atas, kita dapati bahawa
yang dikatakan sosiologi itu adalah menjurus perihal perlakuan manusia, corak dan
kehidupan manusia dan hubungannya dengan manusia lain dan persekitaran.
Apakah pula maksud sosiologi sastera?
Em Zul Fajri dan Ratu Aprilla Senja dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia
menjelaskan sosiologi sastera sebagai karya sastera yang mengungkapkan ideologi / isme
pengarang yang dipengaruhi status lapisan masyarakat tempat ia berasal, ideologi politik
dan sosial. Aspek yang ditekankan ialah perilaku masyarakat yang digambarkan dalam
karya. Mana Sikana menjelaskan ilmu sosiologi mendekati karya sastera dengan melihat
aspek luaran karya, aspek masyarakat, dan aspek kepengarangan. Aspek-aspek ini saling
berkerjasama. Anggota masyarakat mempunyai mata, akal, telinga, intelektual dan cita
rasa (norma) yang menentukan nilai karya dan penciptaan karya sastera. Pengarang tidak
mempunyai kuasa mutlak bagi menentukan permasalahan cerita melainkan bergantung
pada permasalahan masyarakatnya. Justeru, penilaian terhadap sesebuah karya sastera
akan melibatkan (a) pembicaraan terhadap latar pengarang dari aspek pengalaman,
ideologi, intelektualisme dan sosio budaya penulis; (b) isu-isu dan permasalahan yang
terdapat dalam teks yang dibicarakan; (c) nilai-nilai dan norma sosio budaya yang
terdapat dalam teks; dan (d) kesan dan pengaruh teks terhadap masyarakat dan kesan dan
pengaruh masyarakat terhadap teks.
Yang jelas sosiologi sastera berusaha menganalisis fungsi sosial dan fungsi seni
sastera terhadap masyarakat pembaca. Kedua-dua fungsi itu dapat dilihat melalui
hubungan manusia dalam lima citra, iaitu hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan
manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan alam, hubungan manusia dengan
dirinya sendiri, dan hubungan manusia dengan seni sastera (Maniyamin bin Haji Ibrahim,
69