Page 77 - Monograf Persuratan Melayu
P. 77
Monograf Persuratan Melayu 2022
Dalam petikan sajak di atas terlihat ada dua citra, iaitu muhasabah diri dan
harapan. Kedua-dua citra ini menjadi isme dedaktisme dalam sajak-sajak remaja. Berbeza
dengan sajak remaja yang dihasilkan oleh penulis dewasa. Sajaknya terhad pada harapan
sahaja sebagai dedaktisme. Hal ini dapat dilihat dalam sajak-sajak Nawawee Mohammad
dalam Umpama Mutiara ini.
Sastera, Pengarang dan Masyarakat
Secara khusus sajak Mohd Azrie di atas memperkatakan permasalahan peribadi yang
sering dialami oleh pelajar. Sebagai anggota masyarakat, masalah peribadi itu tidak
dilihat sebagai hak peribadi. Apabila permasalahan itu diungkap dalam sajak bererti
Mohd Azrie mahu berkongsi sebab-sebab kegagalan seseorang. Gambaran
permasalahan dan harapan Mohd Azrie itu memang terdapat dalam masyarakat, khusus
masyarakat pelajar. Justeru, jelas menunjukkan hubungan karya sastera antara pengarang
dengan masyarakat.
Menurut Sutan Takdir Alisjahbana, karya-karya kesusasteraan dapat
mencerminkan corak masyarakat pada zamannya. Hal ini kerana karya sastera dicipta
oleh ahli masyarakat (pengarang) untuk dinikmati, dihayati, difahami dan seterusnya
diteladani. Dalam masyarakat tradisional, anggota masyarakat yang pandai bercerita, atau
nenek atau orang tua-tua menggunakan kepandaian mereka mendidik generasi. Antara
kaedah yang digunakan ialah berbari, berdikir, berlipur lara, berpuisi (pantun, syair,
gurindam, seloka dan sebagainya), termasuk menggunakan seni persembahan dan seni
ukiran. Selain untuk hiburan, semua genre itu digunakan untuk mendidik masyarakat.
Media tradisional itu terus berkembang dan menjelma dalam bentuk novel, cerpen, drama
dan sajak, selain media elektronik dan media cetak yang lain. Pentingnya karya sastera
kepada masyarakat dapat dilihat dalam pelbagai media moden yang turut diselitkan
ruangan cerpen, sajak atau pragmen novel. Hal ini membuktikan wujud hubungan mesra
antara karya sastera dengan masyarakat.
Bagi masyarakat yang peka, sedar dan insaf, mereka boleh ambil ikhtibar daripada
sebab dan kesan sesuatu peristiwa yang dipaparkan dalam karya. Memanglah karya
sastera bukan sesuatu yang benar kerana betapa benar sekalipun sesuatu peristiwa itu
telah mengalami proses sosialisasi sastera sebelum menemui khalayak.
Kita boleh mengenali corak kehidupan sesuatu masyarakat pada zaman lampau
atau di sesebuah negara dengan hanya membaca karya sastera. Melalui novel Toto-Chan
Gadis Kecil di Jendela misalnya, kita dapat mengetahui corak dan sistem pendidikan
71