Page 74 - Monograf Persuratan Melayu
P. 74

Monograf Persuratan Melayu                                                       2022


                     Citra Manusia Dalam Kumpulan Sajak Umpama Mutiara

                                       Karya Nawawee Mohammad
                                       Maniyamin @ Nassury Ibrahim



               Pengenalan

               Tulisan ini bertujuan menyelongkar citra manusia yang terdapat dalam kumpulan sajak
               Umpama Mutiara  (UM) karya Nawawee  Mohammad. Sajak-sajak dalam UM
               dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Surat Ayah; Bumi Negara Kita; dan Umpama
               Mutiara. Oleh sebab citra  manusia tergolong dalam disiplin  ilmu sosiologi, maka
               perbincangan dalam tulisan ini berasaskan pendekatan sosiologi. Walau bagaimanapun,
               tidak semua sajak dan citra sajak-sajak dalam UM dikaji. Hanya sajak-sajak yang jelas
               gambaran manusia dan  aktivitinya, dan aspek yang banyak dipersajakan oleh penyair
               sahaja yang diselongkarkan.


               Sosiologi dan Sosiologi Sastera

               Sosiologi merupakan ilmu tentang sifat, perilaku dan perkembangan masyarakat.  Bagi
               Swingewood (Faruk, 1999)   sosiologi merupakan studi ilmiah dan objektif mengenai
               manusia dalam masyarakat dan persekitarannya. Ritzer (1975) pula menekankan maksud
               sosiologi dari aspek ilmu pengetahuan yang multiparadigma dan saling bersaing.
               Paradigma merupakan kelompok pemahaman yang membezakan  sesuatu kelompok
               masyarakat dengan sesuatu kelompok masyarakat lain berdasarkan pegangan isme
               tertentu.


                      Bagi Ritzer terdapat tiga paradigma dalam sosiologi manusia, iaitu paradigma
               fakta sosial manusia, paradigma definisi sosial, dan paradigma perilaku sosial. Puisi-puisi
               karya SN Usman Awang adalah kaya dengan konsep paradigma pertama, manakala puisi
               dan cerpen karya Kassim Ahmad menjurus pada paradigma kedua. Karya-karya yang
               berkaitan paradigma perilaku manusia banyak terdapat dalam kumpulan sajak Dinsman
               berjudul Puisi Panjang Untuk Mahathir (1997), dan Macam Orang Gila (2002). Sajak
               karya Dr. Mahathir Mohamad sendiri lebih menjurus aspek paradigma definisi sosial.
               Sajak Nawawee Mohammad berjudul 'Surat Seorang Teman Yang Ditimpa Kemalangan'
               (m.s.57) dalam ‘Umpama Mutiara’ ini menepati paradigma perilaku manusia yang
               dimaksudkan oleh Ritzer, sebagaimana petikan di bawah.








                                                         68
   69   70   71   72   73   74   75   76   77   78   79