Page 33 - Pengiraan Zakat Perniagaan
P. 33
NOTIS MAKLUMAN
LARANGAN MENGUTIP ZAKAT TANPA TAULIAH
DI WILAYAH PERSEKUTUAN
KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA DAN LABUAN
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, dengan
persetujuan Yang di-Pertuan Agong, memberi kuasa dan
melantik Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) sebagai
Amil untuk mengutip zakat sebagaimana yang
diperuntukkan di bawah kaedah 10 Kaedah-Kaedah
Pentadbiran Undang-Undang Islam (Fitrah Dan Zakat) 1952
sebagaimana diubahsuai oleh Perintah Wilayah
Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran
Hukum Syarak) 1974. Manakala bagi agihan zakat
diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan melalui Bahagian Baitulmal.
AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH
(WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997 [AKTA 559]
SEKSYEN 33
Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah tanpa
dia dilantik sebagai amil atau diberikuasa oleh Majlis adalah
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak
melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
SEKSYEN 34
Mana-mana orang yang membayar zakat atau fitrah
kepada mana-mana orang yang tidak diberikuasa secara
sah untuk memungut zakat atau fitrah adalah melakukan
suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda
tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi
6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah dinasihatkan
supaya berhati-hati dengan mana-mana individu, syarikat,
pertubuhan atau kumpulan yang mendakwa sebagai ejen
kutipan zakat yang sah di mana mereka ini bergiat aktif
mengutip zakat tanpa kebenaran dan pelantikan yang
sah dikeluarkan oleh MAIWP.
MAIWP tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke
atas mana-mana individu, syarikat, pertubuhan atau
kumpulan yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan
tersebut demi menjaga imej dan reputasi Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan selaku badan yang
bertanggungjawab mengurus hal ehwal
agama Islam di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Setiausaha
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
31