Page 172 - SP2021
P. 172
Bagaimanakah pengalaman anda dalam MLEP membantu anda dalam kerjaya pilihan anda ini?
Pengalaman saya sebagai pelajar MLEP merupakan salah satu kenangan yang paling indah dan juga kaya semasa saya di maktab rendah, dan juga banyak memberikan saya pengajaran yang kekal berkesan dalam kehidupan saya sehingga sekarang. Saya telah diberikan peluang untuk meluaskan minda dan pemikiran saya, terutama sekali dengan dorongan, sokongan dan bimbingan guru-guru yang bertauliah dan banyak berjasa, seperti Cikgu Abdul Malek, Cikgu Faten Hana, Cikgu Samsiah, Cikgu Rabiah dan Cikgu Rosemah. Saya dicabar untuk menggalas pelbagai tanggungjawab dan ini memberikan saya peluang untuk mengendalikan pelbagai acara seperti memimpin acara MLEP bagi rumah terbuka TPJC. Saya juga berpeluang untuk mendalami dan menghayati bahasa, sastera dan juga sejarah masyarakat Melayu. Peluang keemasan ini telah banyak membentuk cara pemikiran saya. Lawatan ke Tanjung Pinang yang merupakan sebahagian daripada program pengayaan MLEP juga memperkenalkan saya kepada kerencaman budaya Nusantara kita, bak kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Yang paling penting sekali, guru-guru saya selalu mengingatkan kami baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang. Nasihat yang amat berharga ini tetap terpahat di jiwa saya sehingga hari ini sebagai peringatan untuk sentiasa kekal rendah hati. Pengalaman-pengalaman yang diperoleh semasa saya seorang pelajar MLEP banyak memberikan saya kemahiran untuk memahami dan menyelam hati mereka yang berbeza daripada saya. MLEP juga telah mengajar saya untuk memahami dan menghormati pandangan yang berbeza daripada saya.
Apakah yang mendorong anda untuk mengambil ijazah sarjana dalam Pengajian Melayu?
Dorongan utama saya ialah keinginan untuk memahami kewujudan tanggapan serong atau stereotaip kaum tentang masyarakat Melayu menerusi isu salah asuhan belia atau youth
delinquency. Saya berasa amat marah apabila menonton drama televisyen seperti Hanyut atau Anak Metropolitan kerana saya berpendapat bahawa rancangan televisyen seperti ini memberikan gambaran yang serong dan juga tidak tepat tentang masyarakat Melayu. Demi menghambat kesan buruk yang wujud disebabkan gambaran media tersebut, saya mengambil keputusan untuk membuat kajian yang dapat mencabar tanggapan tersebut dan memahami perkara-perkara sistemik atau yang wujud disebabkan struktur dalam isu salah asuhan belia. Untuk memahami kajian saya dengan lebih terperinci, anda boleh merujuk catatan blog yang telah dihasilkan berdasarkan kajian saya di sini: https://transformativejusticecollective. org/2021/06/06/contesting-media-representations- of-malay-youth-delinquency-in-singapore/.
Apakah nasihat atau pesanan anda untuk pelajar-pelajar MLEP?
Saya berharap pelajar MLEP akan sentiasa berusaha untuk mencapai impian yang setinggi langit, namun tetap membumi dan berakar di tanah asal usul mereka dengan tidak melupakan keperluan masyarakat, terutama sekali golongan yang memerlukan.
Kami di Maktab Rendah Tampines Meridian ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudari Siti Hazirah kerana sudi meluangkan masanya untuk berkongsi pengalamannya. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan semoga sukses dalam kerjaya dan usaha-usahanya pada masa hadapan.
170 ALUMNI BERJAYA