Page 170 - SP2021
P. 170

 Selain itu, saya juga terdorong untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan- kumpulan seperti Persatuan Bahasa Melayu NUS. Pengalaman MLEP menguatkan minat saya terhadap budaya dan bahasa Melayu dan saya ingin meraih pengalaman baharu dengan mereka yang mempunyai minat yang sama.
Persekitaran maktab rendah yang mencabar dan ditambah dengan keadaan pandemik memerlukan penyesuaian dalam membahagikan masa antara belajar dan mengulang kaji. Bagaimanakah anda menyusun masa anda sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan sekolah dan juga GCE ’A’?
Saya telah mengambil kombinasi subjek aliran Sastera dan telah mengambil subjek H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Geografi, Ekonomi dan HI Matematik.
Apabila pandemik melanda, saya dapati bahawa saya mempunyai lebih banyak masa lapang kerana kami semua berada di rumah. Apabila kita berada di rumah, tentulah ada banyak godaan dan gangguan, oleh itu, sikap disiplin itu sangat penting. Saya melakar jadual kerja dan memastikan bahawa saya mengikut jadual yang saya sendiri susun itu. Keadaan akan menjadi lebih tersusun apabila ia menjadi rutin harian.
Bagi saya juga, waktu rehat perlu juga dijaga. Apabila kita cukup rehat, kita boleh fokus ketika kita belajar dan ini menjaminkan sesi belajar yang berkesan. Saya mengutamakan kesihatan fizikal dan mental kerana saya memahami kepentingannya demi kecemerlangan. Untuk pelajaran pula, saya akan memastikan bahawa saya memahami konsep-konsep yang diajar guru. Saya akan bertanya guru menerusi aplikasi whatsapp atau konsultasi maya. Yang penting, jangan tunggu lama-lama untuk bertanya dan cepat-cepat dapatkan pencerahan daripada guru sebelum menjadi lebih keliru.
Apakah pesanan atau nasihat anda untuk para pelajar MLEP dan bagaimanakah kami boleh mencari sumber kekuatan untuk terus bersemangat dalam keadaan yang mencabar ini?
Nasihat saya kepada para pelajar MLEP adalah perlunya ada banyak kesabaran dan jangan berputus asa walaupun berdepan dengan cabaran atau kesukaran. Walaupun pesanan ini agak ‘cliche’, namun tidak kurang penting kerana dengan adanya semangat yang kuat, kita semua boleh mengatasi segala cabaran dalam kehidupan.
Dalam keadaan yang mencabar ini, kita tidak boleh mengabaikan kesihatan kita dari segi fizikal dan mental. Dengan menjaga kesihatan, kita mampu berfikir dengan jelas dan tidak akan terlalu mengikut emosi, malah mampu mengawalnya. Bagi saya, saya akan memperuntukkan masa untuk melakukan aktiviti yang menenangkan fikiran. Ini terpulang kepada individu kerana masing-masing mempunyai cara yang berbeza- beza untuk hilangkan tekanan. Saya juga gemar menggunakan masa rehat dengan melakukan hobi seperti membuat kuih atau menonton televisyen bersama keluarga.
Seterusnya, saya yakin bahawa kita semua perlu melihat situasi dari perspektif yang lebih luas. Kita tidak usah hanya fokus kepada keperitan, namun perlu mengingatkan diri tentang matlamat peribadi. Maka itu, kita akan ingat kembali hikmah di sebalik kesusahan yang sedang dilalui. Misalnya, kita akan sedar bahawa tekanan yang kita lalui akibat akademik sebenarnya adalah kerana kita mengambil berat tentang pendidikan dan mahu cemerlang. Kita juga akan menerima hakikatnya dan faham bahawa kesusahan itu tidak dapat dielakkan dalam setiap perjalanan. Ingatlah kata- kata ini, “Dia yang berusaha bersungguh-sungguh, nescaya akan mendapat hasilnya.”
168 ALUMNI BERJAYA

























































































   168   169   170   171   172