Page 3 - Mesyuarat Agung 2 2023
P. 3
KATA ALU-ALUAN
TIMBALAN PRESIDEN MAJLIS PENGETUA
SEKOLAH MALAYSIA
Assalamualaikum WBT dan Salam Malaysia Madani.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam
ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat
baginda sekalian.
Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan
izin dan inayahNya, Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua
Sekolah Malaysia ke-61 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-2 ini dapat dilaksanakan.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MPSM Cawangan Negeri Johor
selaku tuan rumah persidangan kali ini, kerana telah merancang seterusnya
mengelolakan persidangan ini dengan jayanya.
MPSM telah memilih tema persidangan “KEPIMPINAN BERKUALITI
MEREALISASIKAN PENDIDIKAN MADANI” selaras dengan hala tuju negara yang
menjadikan Malaysia MADANI sebagai garis panduan dalam membangunkan negara.
Sebagai sebuah badan yang berdaftar serta bernaung di bawah Kementerian
Pendidikan Malaysia, MPSM bertanggungjawab memastikan semua sekolah yang
dipimpin oleh ahli-ahlinya menjadi agen dan pemangkin yang boleh mempercepatkan
proses penghayatan Malaysia Madani, khususnya dalam aspek pendidikan karamah
insaniah.
Persidangan ini juga merupakan medan ilmu yang memberi peluang kepada para
pengetua berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang pengurusan serta
kepimpinan pendidikan. Melalui persidangan ini, pengetua-pengetua bakal dibekalkan
dengan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi sejajar perkembangan pendidikan
yang bersifat global.