Page 12 - Buku Pengurusan SMKSP 2020
P. 12
Pengurusan Sekolah 2020
SEJARAH SEKOLAH
SMK Seri Perling, Johor Bahru mula ditubuhkan pada 1 Januari 1995 dengan ditumpangkan di
bawah SMK Seri Rahmat. Seterusnya SMK Seri Perling ditumpangkan di Sekolah Kebangsaan Seri
Perling (2) bagi sesi petang sahaja selama 2 tahun. Kemudian, SMK Seri Perling dibina di atas Lot 36625
dengan keluasan 9.72 ekar. Pada 5 Januari 1995, 560 orang pelajar telah didaftarkan di Tingkatan
Peralihan 1 dan 2. Seramai 19 orang guru dari SMK Seri Rahmat ditempatkan di sekolah ini dengan
diketuai oleh seorang Penyelia Petang. Pada 1 Januari 1997, bermulanya sesi persekolahan di tapak
sekarang dengan penambahan Tingkatan 4 Sastera. Pada tahun 1997, beberapa perkara penting telah
dicatatkan dalam sejarah sekolah iaitu Mesyuarat Agung PIBG telah diadakan buat julung kalinya.
Majalah sekolah yang bernama ‘Dinamik’ juga telah diterbitkan pada tahun yang sama. Dewan sekolah
pula telah digunakan dan dinamakan ‘Ibnu Sina’. Begitu juga acara Sukan Tahunan telah diadakan pada
tahun 1997. Pada tahun 1998 pula, aliran Sains telah mula diwujudkan.
Seterusnya pada April 2001, Koperasi SMKSP mula beroperasi. Pada Jun 2002, SMKSP telah
dinaik taraf sebagai Sekolah Menengah Gred A. 4 orang Guru Kanan Mata Pelajaran telah dilantik.
Pada tahun 2003, SMKSP telah ditawarkan subjek aliran MPV Landskap dan Perabot. Pada 29 Julai
2003, satu rombongan KPPM telah melawat SMKSP untuk meninjau pelaksanaan MPV. Sejajar dengan
perkembangan teknologi, SMKSP telah mewujudkan makmal komputer pada November 2004. Makmal
ini mempunyai 2 bilik dilengkapi dengan 40 buah komputer. Pada Mac 2005, surau SMKSP telah mula
dibina dan telah digunakan secara rasminya pada Jun 2006. Pembinaan surau SMKSP ialah hasil
kerjasama pihak sekolah dan PIBG. Pada Januari 2008, kelas-kelas Rancangan Khas telah mula
ditawarkan. Pada 2008 juga kerja-kerja pembinaan dua blok baharu juga giat diusahakan dan projek ini
siap sepenuhnya pada tahun 2010. Blok baharu iaitu Blok G mempunyai 3 tingkat bangunan. Antara
kemudahan yang terdapat di Blok G ini adalah seperti pejabat, sebuah bilik mesyuarat, bilik guru
kanan, bilik guru, 5 buah tandas, 9 bilik darjah, sebuah studio PSV dan sebuah bilik Intervensi.
Kemudian pada tahun 2009, SMKSP telah terpilih oleh Syarikat Seagate International untuk program
pembangunan insan.
SMKSP telah dianugerahkan sebagai sekolah ‘showcase’ sekolah-sekolah Negeri Johor oleh
Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada 3 April 2018. Pada tahun yang sama sekolah telah menerima
banyak lawatan penandaarasan antaranya dari Tuan Pengarah, Ketua Sektor, pegawai-pegawai JPN,
pegawai-pegawai PPDJB, pegawai-pegawai KSPPD, SIP+ dan SIC+ dari PPD Banting dan Pudu Kuala
Lumpur juga guru- guru sekolah-sekolah daerah Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Selangor. Selain itu,
SMKSP dipilih sebagai IKON PIBK oleh JPN pada tahun 2016. Paling membanggakan, lawatan kerja
KPPM iaitu YB Dato’ Seri Khair Bin Mohamad Yusof sendiri datang meninjau pelaksanaan PdP PAK 21
pada 26 Ogos 2015. SMKSP telah menerima respons dan maklum balas yang positif daripada semua
lawatan ini.
4