Page 43 - Sejarah Perundangan Islam (Edisi Baru)
P. 43
PERUNDANGAN ISLAM ZAMAN RASULULLAH SAW
1 Seruan Secara Sembunyi-sembunyi
Pada permulaannya Rasulullah SAW menyeru orang Mekah kepada Islam secara sembunyi, yaitu secara peribadi. Baginda SAW mengajak mereka supaya tunduk dan beriman kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa dan meninggalkan menyembah berhala.
Pada peringkat awalnya seruan ditumpukan kepada ahli rumahnya, para sahabatnya, kemudian berpindah kepada kaum keluarganya. Khadījah, isteri Baginda SAW, merupakan wanita pertama memeluk Islam. Selepas itu diikuti oleh ʻAlī bin Abū Thālib, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, yang juga sepupu Nabi Muhammad SAW.
Kemudian diikuti oleh Zaid bin Ḥāritsah RA, anak angkat Nabi Muhammad SAW dan Abū Bakr al-Shiddīq RA, yang berusia 38 tahun. Abū Bakr merupakan sahabat Rasulullah SAW yang paling ikhlas. Dia adalah seorang bangsawan dan hartawan yang terkenal di kalangan kaum Quraisy.
Penyebaran agama Islam secara peribadi berjalan terus. Menerusi penyebaran ini, Abū Bakr dan ʻUtsmān bin ʻAffān RA yang ketika itu berusia 20 tahun telah memeluk Islam. Ini diikuti pula oleh sahabat-sahabatnya yang lain seperti al-Zubair bin al-ʻAwwām yang berusia 15 tahun, Saʻad bin Abī Waqqās, ʻAbd al-Rahmān bin ‘Auf, Thalḥah bin ʻUbaid Allāh, Abū ʻUbaidah bin Jarrāh, al-Arqam bin Abī al-Arqam RA dan lain-lain.
Rumah al-Arqam dijadikan sebagai pusat dakwah Islam secara sulit. Menerusi pusat ini Islam terus berkembang, terutamanya di kalangan orang-orang miskin dan hamba. Ini adalah sesuai dengan konsep Islam itu sendiri yang menyeru umat manusia hidup sama rata dan bersaudara. Sesuatu yang membedakan mereka ialah banyaknya amal kebaikan mereka kepada Allah SWT.
27