Page 2 - Buku Program Kejohanan Sukan Tahunan SK Subang 2019
P. 2
b
Assalamualaikum W.B.T dan Salam Perpaduan.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama berkumpul
untuk menjayakan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Subang Kali Ke-41, 2019.
Sukan adalah antara kaedah untuk membina peribadi yang mulia. Dengan memberi latihan yang
merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social, ia dapat membentuk seseorang murid itu
patuh dengan aturan dan secara tidak langsung mendidiknya untuk lebih berdisiplin, berhemah tinggi,
bertanggungjawab, sekaligus membina jati diri ke arah kepimpinan.
Sekolah ingin melihat murid boleh menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain. Dalam sukan,
pelbagai perkara dipelajari dari patuh kepada arahan jurulatih sehinggalah membina kesepaduan
pasukan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur, bekerjasama dan sebagainya. Pihak
sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke
arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan dalam apa jua bidang sukan.
Sukan pada hari ini bukan setakat satu aktiviti hobi dan riadah, bahkan ia telah menjadi satu gaya
hidup sihat, dan merupakan pelaburan terhadap kesihatan dan ekonomi yang menguntungkan. Adalah
tidak mustahil jika hari ini murid-murid yang berlari berkaki ayam di atas trek rumput tetapi pada
satu hari nanti dengan bimbingan dan tunjuk ajar serta bakat yang ada, murid tadi akan belari di
persada trek antarabangsa mengibarkan bendera negara.
Dalam konteks sekolah, semua murid amat bertuah sekali kerana pihak sekolah sentiasa memberi
galakan dan dorongan yang berterusan serta memberi peluang yang seluas-luasnya kepada murid
untuk bergiat dalam bidang sukan. Selain dapat menjamin kecergasan fizikal dan kecerdasan minda,
aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dan agama dapat memupuk semangat
kesukanan dan perpaduan sekaligus mengeratkan tali silaturrahim dan muhibah.
Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk membina
negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Sebagai mengakhiri ucapan alu-aluan ini, saya ingin mengambil kesempatan pada pagi yang meriah ini
untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pn. Ooi Haw Voon selaku
Ahli Majlis MPP MBSA Zon 17, Tn. Hj. Salim Bin Abd Rahman, Pengerusi MPKK, En. Zulhisham Bin
Kamarudin, YDP PIBG serta para tetamu yang telah sudi menerima undangan kami ke Kejohanan Sukan
Tahunan Sekolah Kebangsaan Subang Kali Ke-41 pada hari ini.
Sekian, terima kasih.
‘KE ARAH KECEMERLANGAN SUKAN’
EN. MUHAMMAD FADZLI BIN KAMARUDIN
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Subang