Page 123 - eDinamik
P. 123

TAWAKAL DAN REDHA ITU PENTING,
                           TAPI USAHA HARUSLAH SEIRING

                                       Rosmawati Haron @ Harun



        Ramai yang berasa hairan kenapa saya beralih kepada bidang perancangan kewangan takaful
        keluarga. Soalan yang selalu ditanya adalah, adakah saya ingin menukar kerjaya? Adakah saya
        terlalu banyak waktu senggang? Ada juga yang bertanya soalan nakal seperti, adakah gaji
        pensyarah kanan di universiti awam tidak mencukupi? Semua soalan itu saya balas dengan
        senyuman kerana sejujurnya, saya menganggap kerjaya baru saya ini adalah satu
        tanggungjawab untuk menyebarkan kepentingan merancang kewangan keluarga di kalangan
        orang ramai, khususnya sahabat di keliling saya.

        Terdapat tiga pandangan tipikal daripada sahabat dikeliling saya; (1) soal kematian adalah isu
        taboo, (2) perlindungan insuran hanya sesuai untuk mendapatkan perkhidmatan hospital swasta,
        dan (3) penjawat awam tidak perlukan perlindungan kewangan kerana rawatan hospital kerajaan
        yang percuma dan kelebihan pencen semasa bersara. Pernah juga seorang sahabat
        memberikan alasan yang syarikatnya ada menyediakan kemudahan rawatan perubatan tanpa
        had di mana-mana hospital pakar bila perlu. Jadi, mengapa perlu mengeluarkan wang untuk
        sesuatu yang “sudah dimiliki” sedangkan wang itu boleh dibelanjakan ke tempat lain. Sengaja
        saya meletakkan tanda di perkataan “sudah dimiliki” kerana ia adalah satu poin yang sangat
        menarik untuk perbincangan. Adakah benar anda “memiliki” kelebihan itu? Pernahkah anda
        terfikir perkara berikut:
        1) Sehingga bilakah kita akan berkerja di syarikat tersebut?
        2) Jika kita cuti kerana sakit, berapa lamakah syarikat akan menanggung bil-bil hospital kita? 6
           bulan? Setahun?
        3) Jika anda dipaksa bersara awal, cukupkah wang persaraan untuk membiayai perubatan
           anda? Bagaimana dengan komitmen yang lain?
        4) Selepas bersara, siapakan yang akan membayar bil-bil perubatan jika ketika itu kita telahpun
           mempunyai penyakit kritikal seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi?
        5) Anda sudah terbiasa dengan layanan istimewa di hospital insuran syarikat. Sanggupkah
           apabila bersara, anda menggunakan wang simpanan atau KWSP untuk mendapatkan
           layanan yang sama? Mungkin juga, anda tetap mahu meneruskan rawatan di hospital itu
           kerana rekod perubatan yang sedia ada.
        6) Apabila sudah bersara daripada syarikat tersebut dan anda mungkin sudah sakit,
           sanggupkah anda berhadapan dengan risiko membayar premium insuran yang lebih tinggi
           dari sekarang? Berkemungkinan juga permohonan anda tidak diluluskan.

        Sebenarnya, soalan di atas juga merangkumi kepada semua golongan dan lapisan masyarakat.
        Ia tidak terhad kepada golongan yang tertentu sahaja. Seringkali, isu ini dibiarkan bertangguh
        dan dipandang sepi. Dalam diam, kita mengharapkan ia akan berjalan sendiri tanpa tindakan (it
        will take care of itself) atau akan ada
        seseorang di luar sana sedia membantu apabila perlu.





                                                                                                      114
   118   119   120   121   122   123   124   125   126   127   128