Page 124 - eDinamik
P. 124
Masa berjalan, sedar tak sedar, di saat kita benar-benar mengharapkan perlindungan dan
bantuan, apa yang kita harapkan itu tidak menjadi.
Benar, setiap yang hidup itu pasti akan merasai mati. Tetapi, isu perlindungan kewangan
kepada keluarga bukan lah semata – mata terletak selepas kematian. Ia juga merangkumi
keadaan semasa kita masih hidup, tetapi dalam keadaan yang sangat memerlukan.
Pernahkah anda terfikir jika suatu hari nanti, kita mungkin akan diserang penyakit kritikal
seperti kegagalan fungsi buah pinggang, kanser atau cacat kekal. Ketika itu, kita sudah tidak
mampu untuk bekerja. Keadaan ini boleh bertukar menjadi parah jika kita merupakan satu-
satunya punca utama pendapatan keluarga dan pasangan terpaksa berhenti kerja untuk
menjaga keperluan kita. Mungkin kita merasakan bahawa simpanan kita cukup untuk
melangsaikan segala komitmen tanggungan. Namun, mampukah kita dan keluarga bertahan
dengan simpanan tersebut? Mungkin juga kita berpendapat, rawatan di hospital kerajaan
sudah memadai kerana di situ berkumpulnya ramai pakar-pakar perubatan yang hebat. Tapi
bagaimana jika rawatan yang kita jalani itu memerlukan kos tambahan seperti RM30-40ribu
untuk (contohnya) rawatan pintasan jantung di Institut Jantung Negara? Masih cukupkah lagi
simpanan?
Maka disinilah peranan saya untuk menyampaikan kesedaran tentang kepentingan
merancang dan melindungi kewangan keluarga. Dengan perlindungan kewangan, sedikit
sebanyak ia dapat membantu meringankan beban keluarga. Sudah pasti kita tidak mahu
melihat pasangan atau anak-anak merayu-rayu bantuan daripada orang lain hanya kerana
kita gagal merancang kewangan dengan baik. Seharusnya, ia diletakkan sebagai
perbelanjaan prioriti sebelum melakukan perancangan perbelanjaan ke tempat lain.
Anggaplah ia sebagai simpanan. Asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada
pendapatan buat diri sendiri, pasangan dan anak-anak bagi tujuan ini. Jika anda merasakan
ia sebagai tidak perlu, saya cabar anda untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama
yang anda yakin dapat membantu dan menanggung pasangan dan anak-anak seperti mana
anda menanggung mereka sekarang, sekiranya nafas anda berhenti hari ini. Sekiranya anda
tidak yakin, rancanglah dengan sebaik-baiknya.
Apapun, syabas jika anda telah pun mempunyai pelan perancangan kewangan. Pastikan ia
mencukupi dan yang paling penting, apabila kita “kembali pulang”, segala hutang kita telah
langsai dan pasangan atau anak-anak boleh meneruskan kelangsungan hidup dengan legasi
yang kita tinggalkan. Meletakkan harapan kepada ketentuan takdir adalah ibarat
fatamorgana di hari panas. Tambahan pula jika ia memberi tempias kepada orang tersayang.
Merancanglah dengan baik. Sediakan payung sebelum hujan adalah satu kiasan yang
sangat tepat bagi isu ini. Jika kita mampu menyediakan kehidupan yang terbaik untuk
keluarga kita semasa kita masih sihat dan hidup, mengapa bila kita tiada, kita tidak
menyediakan yang terbaik untuk mereka? Kita memang boleh bertawakal dengan
menganggap apa yang akan berlaku di masa hadapan adalah ketentuan Maha Pencipta.
Benar. Namun, tawakal dan redha itu datangnya
selepas kita berikhtiar.
115