Page 305 - eDinamik
P. 305
[Catatan Peribadi] Bukan Senang Nak Senang...
Oleh: Rosnani Mohd Salleh & Siti Mariam Atan
Saya rasa setiap orang pasti merasai pahit maung sebuah kehidupan sebelum mereka
menikmati hidup yang senang. Jika anda dilahirkan dalam keluarga yang senang dan penuh
dengan kekayaan, anda patut bersyukur dengan nikmat yang telah Dia kurniakan.
Saya melalui pelbagai pengalaman untuk berada di tahap yang sekarang. Bukan
semuanya manis dan bukan juga terlalu pahit untuk ditelan. Ada sesuatu perkara yang
berlaku, walaupun pada akhirnya membuahkan rasa yang sangat manis tapi untuk mencapai
tahap tersebut, pelbagai rintangan dan halangan yang perlu diselesaikan.
Namun begitu, sepanjang kelansungan hidup ini, momen-momen yang indah
akan terus dikenang, manakala pengalaman yang pahit dan masam pastinya kita akan tetap
jadikan sebagai pedoman dan panduan dalam meneruskan bahtera kehidupan.
Ya! Saya rasa anda sangat beruntung kalau tidak pernah merasa hidup susah.
Anda sangat beruntung kalau anda tidak pernah melalui kesusahan atau kesulitan dan semua
hajat anda ditunaikan dengan senang dan mudah. Tapi pada pandangan saya, adalah lagi
beruntung kalau anda hidup dipenuhi dengan dugaan dan rintangan, kerana itulah yang akan
membuatkan anda tenang dan tabah untuk terus bertahan. Kesusahan dan kesukaran hidup
menjadi hati anda sekuat besi yang dibakar dan sekukuh gunung yang tersergam indah.
Senang atau susah hidup yang anda lalui, hadapilah dengan mensyukuri apa jua
nikmat yang Dia beri. Jatuh dan bangun anda dalam meneruskan sebuah kehidupan mungkin
tak mampu difahami oleh mereka yang lain. Jatuh dan bangun itu bukanlah untuk mereka,
sudah semestinya mereka tidak akan rasa apa yang anda rasa. Rasa rasa itu hanya anda
yang tahu sebenarnya. Tapi tak mengapa, takdir manusia itu tidak sama. Saiz baju dan kasut
kita pun berbeza apatah lagi perjalanan hidup yang telah ditetapkan oleh Dia yang Maha
Kuasa.
Jika anda jatuh dan sedang berduka, janganlah putus harap untuk bangkit semula.
Ingat selalu, bila kita jatuh ke bawah, sebenarnya Dia nak bagi kita seribu cara untuk mendaki
semula ke atas.
*****
Ajarkanlah pada hatimu...
'Tak apa, teruskan mencuba.’
Sepuluh kali, seratus kali, seribu kali hatta sejuta kali pun,
jangan mudah berputus asa.
"Keep breaking, keep being fixed. Break again, being fixed again. It’s okay. It will be okay!"
296