Page 42 - e-Dinamik
P. 42
KARYA UMUM
PELABUR DAN MATA WANG KRIPTO
Oleh: Tay Bee Hoong
Era digital menawarkan pelbagai jenis peluang dan cabaran kepada masyarakat termasuklah
pelaburan dalam mata wang kripto. Mata wang kripto ataupun mata wang maya adalah wang
digital yang semakin mendapat perhatian di era digital ini. Mata wang kripto seperti Bitcoin,
Ethereum, Zcash, NEO, Dash, Litecoin dan Ripple menjadi tarikan ramai terutamanya kepada
generasi Y dan milenium yang akrab dengan teknologi digital dan elektronik.
Selain digunakan sebagai medium pembayaran, mata wang kripto juga merupakan salah satu
sekuriti yang dilabur oleh pengguna dengan harapan untuk mengaut keuntangan kelak.
Hakikatnya, Bitcoin yang diperkenalkan pada tahun 2008 pernah mencecah ke paras melebihi
AS$20,000 pada Disember 2017. Walau bagaimanapun, harga Bitcoin menjadi tidak menentu
akibat kemeruapan pasaran global dan telah mengalami kemerosotan selepas Disember 2017.
Ianya didagang pada harga AS$10,104.24 pada 24 Ogos 2019.
Seperti pelaburan di sekuriti lain, pelaburan mata wang kripto mempunyai risikonya yang
tersendiri. Kes kecurian yang membabitkan wang kripto iaitu Coincheck di Jepun pada bulan
Januari 2018 telah melibatkan kerugian sebanyak AS$530 juta di bursa mata wang digital yang
berpusat di Tokyo. Selain daripada itu, Bitcoin telah mengalami kejatuhan melebihi 10 peratus
pada bulan Julai 2019 akibat daripada informasi yang melibatkan penggubalan undang-undang
Amerika Syarikat terhadap rancangan Facebook untuk mengeluarkan wang syiling digital yang
dinamakan Libra pada tahun 2020. Ini menunjukkan pelaburan mata wang kripto sememangnya
terdedah kepada risiko kemeruapan pasaran.
Maka, persoalan yang menarik timbul sama ada masyarakat secara umumnya memahami risiko
dan cabaran untuk melabur di mata wang maya? Walaupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
telah memperkenalkan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata
Wang Digital dan Token Digital) yang telah mempreskripsikan aset digital sebagai satu sekuriti
pada 15 Januari 2019, namun, pelabur perlu berhati-hari sebelum menyalurkan dana mereka ke
sekuriti ini.
Antara perkara penting yang perlu dikenalpasti adalah cara untuk menyimpan dan melindungi
kunci peripadi. Kehilangan kunci peribadi akan menyebabkan pelabur tidak dapat menggunakan
mata wang tersebut kelak. Di samping itu, teknologi rantaian blok dan kriptografi telah
membezakan pengurusan risiko mata wang maya daripada pengurusan risiko sekuriti lain yang
melibatkan wang fiat. Maka, pelaburan dalam mata wang maya memerlukan infrastruktur
teknologi yang mantap agar dapat melestarikan keselamatan siber.
Selain daripada mengenalpasti cara yang selamat untuk menyimpan wang kripto, pelabur perlu
mempersiapkan diri dengan pengetahuan perkembangan pasaran semasa supaya dapat
menguasai maklumat penting yang akan mempengaruhi nilai mata wang kripto yang dimiliki oleh
mereka. Ini juga amat penting dalam membantu pelabur dalam membentuk dan mengurus
portfolio mata wang maya, contohnya, menentukan masa yang sesuai untuk jual beli dan
mengenalpasti mata wang yang ‘undervalued’ untuk dilabur.
Pelaburan dan penggunaan wang kripto sememangnya melibatkan risiko dagangan yang tinggi.
Walaupun dipreskripsikan sebagai sekuriti oleh SC, mata wang digital belum dianggap sebagai
tender yang sah oleh Bank Negara Malaysia. Isu berkenaan dengan penyalahgunaan dan
pembersihan wang haram menjadi cabaran kepada pengawalseliaan terhadap mata wang digital
ini. Maka, untuk dijadikan sebagai salah satu aset dalam portfolio pelaburan, pelabur dan
pengguna haruslah tepuk dada tanya minda kerana ianya amat bergantung kepada pemahaman
meraka terhadap mata wang maya tersebut.
33