Page 193 - Saujana Pujangga 2022
P. 193
FORUM
Saujana Pujangga 2022 191
Adrina Binte Irmady
K-pop merupakan fenomena global yang popular sejak tahun 2000an. K-pop telah berkembang sehingga ramai orang dari pelbagai negara meminati K-pop. Ramai orang berpandangan bahawa kehidupan seorang idola K-pop mewah. Namun, di sebalik kegembiraan yang dipaparkan dalam industri K-pop, idola K-pop mengatasi pelbagai cabaran untuk berjaya. Mereka melalui pelbagai cabaran yang membahayakan kesihatan mental dan fizikal mereka. Mereka perlu berlatih dan berjoget di hadapan cermin dari pagi hingga malam. Tambahan pula, mereka perlu menjaga pemakanan mereka kerana kelangsingan yang melampau dan bentuk badan yang tertentu amat diutamakan dalam industri ini. Hal ini menjejaskan kesihatan mereka kerana mereka tidak cukup makan dan telah mengakibatkan mereka menghidapi penyakit seperti anoreksia dan bulimia. Para peminat K-pop mungkin terlalu mengagungkan idola K-pop mereka sehingga mereka tidak menyedari bahawa idola K-pop mereka sebenarnya terlalu tertekan dari segi mental dan fizikal. Peminat-peminat juga teringin untuk mengikut cara pemakanan idola mereka supaya mereka boleh mendapat bentuk badan seperti idola mereka. Mereka akan mengikut tanpa memikirkan kesan kepada kesihatan mereka untuk mencapai bentuk badan yang sama seperti idola mereka. Ini akan menjejaskan kesihatan serta keyakinan diri ramai golongan muda malah golongan tua juga yang menjadi peminati K-pop. Maka itu, kegilaan tehadap K-Pop harus dikawal supaya peminat-peminat tidak membahayakan kesihatan mereka.
Nurhuzaty Binte Muhammad Nur
K-pop merupakan bentuk muzik popular yang berasal dari Korea Selatan. Kumpulan-kumpulan K-pop begitu berbakat menyanyi, menari dan rap. Tambahan lagi, mereka juga aktif memberikan khidmat kepada peminat, melalui penyertaan mereka dalam pelbagai rancangan hiburan, dan bentuk komunikasi lain yang kurang diceburi oleh kumpulan pop barat. Peminat K-pop merangkumi semua peringkat umur. Selepas datangnya badai K-pop, ramai berpendapat bahawa K-pop merupakan salah satu fenomena yang dapat menghubungkan orang ramai di seluruh dunia melalui kecintaan mereka terhadap muzik pop Korea, sambil juga memperkenalkan mereka kepada konsep kepelbagaian budaya. Ramai telah dipengaruhi oleh kumpulan K-pop kegemaran mereka dengan cara dan gaya hidup mereka yang ranggi dan dapat mengetahui budaya Korea dengan lebih lanjut melalui rancangan realiti idola mereka.
Rausyan Ara Mahmud
Kebelakangan ini, pop Korea atau lebih dikenali sebagai K-pop telah merebak dengan pantas secara sejagat. K-pop merangkumi artis-artis Korea yang penuh bakat. Lagu mereka yang diiringi dengan gerakan tarian menarik hati ramai orang tidak kira umur. Untuk menunjukkan sokongan terhadap artis kegemaran, peminat akan selalu mendengar muzik mereka, menghadiri konsert dan membeli album serta mengikuti perkembangan mereka secara terperinci. Dapat difahami bahawa minat terhadap para artis sungguh kuat namun, ada banyak kejadian apabila peminat yang obsesi melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan keterlaluan. Ada peminat yang langsung tidak menghormati privasi idola mereka sehingga sanggup memecah masuk pangsapuri idola mereka hanya kerana ingin melihat sendiri tempat tinggal idola mereka itu. Ini pastinya hal yang tidak selamat bagi artis K-pop malah tidak sihat juga bagi peminat yang berkelakuan melampau. Kedua-dua pihak boleh mengalami gangguan kesihatan mental mereka. Keadaan ini amat menakutkan.