Page 49 - Saujana Pujangga 2022
P. 49

 PEMENTASAN PUISI CINTA ‘UNTUKMU’
MENJADI PENUTUP WISUDA DI JPJC
Nur Shahriyah Fatin Binte Zixcon
Alisha Hannah Binte Mohammed Affandi
JPJC
Program-program MLEP yang dianjurkan di JPJC tentulah bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar menambah dan mendalami ilmu tentang bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa dengan menyertai aktiviti-aktiviti MLEP bersama rakan-rakan selama setahun, kami telah membina satu memori indah. Salah satunya ialah, menonton pementasan Wisuda.
Pementasan Wisuda telah kembali semula setelah ditiadakan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19. Persembahan ini merupakan aktiviti terakhir yang menandakan tamatnya perjalanan pelajar Tahun 2 dalam program MLEP. Majlis Wisuda merupakan aktiviti kemuncak bagi semua pelajar MLEP- JPJC Tahun 2 sebagai tanda tamat program MLEP.
Pada 3 Jun 2022, para pelajar kohort ke-10 mempersembahkan pementasan Puisi Cinta ‘Untukmu’. Pementasan ini ialah ‘Sangkal stereotaip, Renung semula, Ubah minda’ pelajar terhadap keindahan bahasa Melayu. Pementasan ini mengisahkan tentang watak Zakir, seorang anak Melayu yang tidak suka akan bahasanya sendiri kerana stereotaip- stereotaip yang dikaitkan dengan bangsa Melayu. Charmaine pula seorang anak Cina yang gemar akan bahasa Melayu dan fasih dalam bahasa tersebut. Sebagai ketua aktiviti kokurikular Persatuan Budaya Melayu (MCS), Charmaine telah memujuk Zakir agar menyertai sebuah program Bahasa Melayu. Charmaine banyak menghulurkan bantuan kepada Zakir sepanjang dia menyertai program tersebut.
Sepanjang perjalanannya ‘mengembara’ dan mendalami semula minatnya terhadap bahasa Melayu, Zakir mula jatuh hati dengan Charmaine. Zakir telah mengarang dan mendeklamasikan sebuah puisi untuk meluahkan perasaan sukanya terhadap Charmaine. Penonton tertanya-tanya sama ada Charmaine mempunyai perasaan yang sama terhadap Zakir kerana pada akhir pementasan ini, persoalan tersebut tidak terjawab dan dibiarkan tergantung begitu sahaja untuk dijawab oleh penonton sendiri. Namun, yang penting ialah pementasan ini teleh banyak memberikan inspirasi kepada penonton agar menghargai bahasa ibunda sendiri.
DIARI
 Saujana Pujangga 2022 47
    























































































   47   48   49   50   51