Page 18 - E Malajah Edisi 3
P. 18
Setiap budaya mungkin mempunyai etika, nilai hidup dan sudut pandangan yang berbeza
terhadap kehidupan manusia. Salah satu kualiti paling asas yang diajar oleh setiap budaya
kepada masyarakatnya ialah melayan semua orang secara sama rata tanpa mengira jantina
atau agama mereka. Nilai khusus ini akan mempengaruhi pendapat belia terhadap satu
sama lain yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza. Belia daripada satu budaya
akan dapat bertolak-ansur dan berkomunikasi dengan belia daripada budaya lain untuk fokus
kepada matlamat utama iaitu pertumbuhan dan pembangunan diri, keluarga dan negara. Ini
adalah langkah yang cukup proaktif untuk mengelak konflik dan masalah yang mungkin
timbul akibat perasaan ego yang berpendapat bahawa "budaya saya lebih baik atau lebih
hebat daripada anda". Belia akan dapat menerima perbezaan budaya di kalangan mereka
dan seterusnya menggalakkan kerjasama yang kukuh. Tindak balas berantai yang terbentuk
daripada kerjasama tersebut akan membawa kepada perpaduan.
Perpaduan adalah salah satu nilai yang mungkin dipandang rendah dalam sesebuah
masyarakat atau negara. Namun, apabila ramai orang berkumpul, banyak perkara hebat
boleh dicapai. Setiap matlamat pembangunan mampan boleh dicapai di setiap negara
apabila belia berkomunikasi untuk menyelaras antara satu sama lain walau ada jarak yang
memisahkan mereka. Kerjasama dan persefahaman yang lebih baik antara belia yang
berbeza budaya mampu menjadi pelantar yang menggalakkan kewujudan peluang baharu
untuk meneroka dunia di sekeliling mereka.
Lelaki dan wanita sama-sama boleh bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup dalam
masyarakat tanpa perlu risau tentang penilaian orang lain. Peluang pekerjaan dan
pendidikan yang sama akan membolehkan belia berkembang. Penerokaan baharu dalam
sains, teknologi, seni dan kesusasteraan boleh dijalankan. Jika dominasi satu jantina (lelaki)
mampu menyumbang begitu banyak kepada dunia, bayangkan perubahan positif yang akan
berlaku apabila semua sumbangan, tanpa mengira jantina di ambil kira oleh dunia.
Belia tanpa bimbingan atau etika yang baik boleh membawa kejatuhan kepada sesebuah
masyarakat. Oleh itu, salah satu aspek yang memartabatkan belia ialah budaya. Setiap
negara harus sedar bahawa tidak ada budaya yang lebih baik daripada yang lain. Setiap
budaya mengajar pengamalnya mempunyai set tradisi dan pengetahuan yang unik. Apabila
belia berkembang, budaya menjadi tonggak yang kuat untuk mereka mengatasi pelbagai
konflik dalam kehidupan peribadi dan dalam masyarakat.
Pertumbuhan pesat dunia dan teknologi menuntut generasi semasa untuk berkembang
dengan lebih jauh dan lebih baik. Golongan belia harus bersedia untuk menempuh sebarang
cabaran apabila perjalanan hidup semakin sukar dan mencabar. Bersama budaya serta hak
samarata, belia negara kita akan dapat memecahkan stereotaip masyarakat dan menjadi
bukti bahawa perpaduan boleh membantu mencapai hampir apa sahaja termasuk
menyelamatkan alam semula jadi daripada kemusnahan dan malapetaka.
17
15