Page 3 - eBuletin Hari Polis 2020
P. 3
PERUTUSAN SEMPENA HARI POLIS KE-213 TAHUN 2020
Salam Sejahtera dan Salam Polis Diraja Malaysia.
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerana dengan anugerah-Nya yang tiada terhingga,
Polis Diraja Malaysia (PDRM), bakal menempuh usia yang ke-213 tahun, pada 25 Mac 2020.
Buat pertama kalinya dalam sejarah PDRM, kita tidak dapat menyambut Peringatan Hari Polis
sebagaimana yang lazimnya dilakukan setiap tahun, kerana berhadapan dengan ancaman wabak COVID-
19. Maka, kesemua program yang direncanakan sebagai pengisian sambutan Hari Polis 2020, tidak dapat
dilaksanakan, demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Kerajaan.
Jika sebelum ini, 25 Mac dilihat sebagai tarikh keramat untuk mengenang jasa dan pengorbanan wira-
wira terdahulu yang berjuang demi kedaulatan dan keamanan negara, maka pada tahun ini, kita turut
meraikan pengorbanan warga PDRM, yang sanggup mengenepikan keselamatan diri sendiri, demi
melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut COVID-19. Kesediaan kita meletakkan diri dalam
situasi berisiko tinggi, yang boleh mendedahkan kita pada jangkitan wabak tersebut, adalah bukti nyata,
tentang sejauh mana kita sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara.
Dalam situasi semasa, saya sangat berbangga dan menjunjung tinggi pengorbanan setiap warga PDRM,
yang ikhlas menggalas tanggungjawab yang diamanahkan, meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko
yang boleh mengancam nyawa sendiri. Walaupun badai datang melanda, bercerai jasad dan nyawa, kita
sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan dan kepentingan masyarakat seluruhnya.
Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk
mempasakkan tekad dan membulatkan iltizam, dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, agar
rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan. Tindakan ini amatlah penting bagi mengelakkan
berlakunya gelombang ketiga, yang berupaya membawa implikasi yang lebih serius kepada
kesejahteraan rakyat Malaysia. Sesungguhnya inilah jihad kita, demi agama, bangsa dan negara.
Kepada ahli masyarakat, kami amat berterima kasih atas segala sokongan dan kerjasama yang telah
diberikan kepada PDRM selama ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan semasa di mana kerjasama rakyat
Malaysia, amat diperlukan untuk mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan, dalam usaha
membendung penularan wabak COVID-19. Bantulah kami, untuk membantu anda, dan sama-samalah kita
berdoa kepada Yang Maha Esa, semoga dugaan yang kita hadapi ketika ini, akan segera berakhir dan kita
dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa.
SELAMAT HARI POLIS KE-213
‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’
(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia