Page 5 - eBuletin Hari Polis 2020
P. 5
COVID-19: Hari Polis ke-213
tidak disambut seperti biasa
Sambutan peringatan Hari Polis ke-213 yang sepatutnya diadakan pada 25 Mac (Rabu) dibatalkan
berikutan negara kini di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin walaupun tiada sambutan diadakan bagi
menghargai jasa dan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) beliau berharap agar warga
PDRM terus kental dan bersemangat memberi khidmat kepada rakyat.
“Saya amat berharap anggota PDRM akan terus memberikan khidmat terbaik kepada negara sebagai
petugas barisan hadapan yang diamanahkan untuk menguatkuasakan PKP ini.
“Saya berdoa semoga usaha Kerajaan dan kita semua dapat membendung penularan COVID-19 dengan
jayanya. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Selasa.
Tugasan polis ini bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi apabila berhadapan dengan situasi dan
cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks.
Tambah Zainuddin beliau akan memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka yang terdedah
kepada wabak COVID19 terbela.
“Dalam waktu yang getir ini, saya berdoa agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi cabaran
ini dan kembali sembuh secepat mungkin. Kementerian Dalam Negeri akan memastikan kebajikan
mereka dan ahli keluarga terbela,” katanya lagi.
PDRM bukan sahaja berhadapan dengan jenayah konvensional, ancaman pengganas yang adakalanya
amat luar biasa, bahkan ianya lebih kompleks dalam dunia digital sekarang ini.
"Yakinlah, ia satu khidmat yang mulia dan diberkati, Allah s.w.t. akan merahmati," katanya.