Page 3 - E-Majalah Perubahan Iklim
P. 3
"Apakah yang dimaksudkan perubahan iklim?"
Pada bahagian pengenalan telah
disediakan dan ditulis oleh Dayana Binti
Muhamad Darwan Dewa, bernombor
matrik 156411.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2008), antara tahun 2030 hingga
2050, perubahan iklim penyebab anggaran 250,000 kematian setiap tahun, dengan
kos rawatan kesihatan mencecah AS$4 bilion. Malaysia, yang terletak di garisan
Khatulistiwa dengan iklim panas dan lembap sepanjang tahun, turut terkesan oleh
fenomena ini. Cuaca luar biasa seperti hujan lebat berpanjangan telah mencetuskan
bencana alam, termasuk banjir kilat, tanah runtuh, dan banjir lumpur (Majlis
Keselamatan Negara, 2023). Berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (2024),
perubahan iklim merujuk kepada perubahan corak cuaca dalam jangka masa
panjang, biasanya merangkumi beberapa dekad atau lebih, sama ada pada skala
global, serantau, atau negara. Fenomena ini boleh berpunca daripada faktor semula
jadi atau aktiviti manusia. Ia melibatkan perubahan besar dalam elemen cuaca
seperti suhu, taburan hujan, kelembapan, suhu lautan, corak angin, paras laut, serta
luas ais laut. Perubahan-perubahan ini turut membawa kesan mendalam terhadap
kehidupan di Bumi.
Hasan (2023) mengatakan bahawa, perubahan iklim dan pemanasan global
merupakan isu global yang semakin kritikal, memberi kesan besar kepada
masyarakat dan ekosistem. Fenomena ini mencetuskan cuaca ekstrem, kenaikan
paras laut, dan ketidakseimbangan ekosistem, menjadikannya topik utama di
peringkat antarabangsa. Ketidaktentuan iklim juga mengganggu keseimbangan
ekosistem, mengancam kehidupan, dan mendorong kepupusan spesies. Selanjutnya,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (2010) turut mengatakan,
perubahan iklim telah menyebabkan bencana alam seperti kenaikan paras laut,
banjir, tanah runtuh, hakisan, kemarau, kebakaran hutan, dan jerebu. Ini memberi
kesan kepada keselamatan, kesihatan, ekonomi negara, serta alam semula jadi dan
landskap binaan. Gangguan ekosistem mengancam sumber air dan makanan,
manakala kebergantungan pada tenaga konvensional meningkatkan pelepasan gas
rumah kaca dan risiko ekonomi global. Daya saing ekonomi bergantung pada
kecekapan pengeluaran dan penggunaan tenaga. Sehubungan dengan itu, tujuan
majalah ini disediakan bagi menghuraikan berkenaan contoh fenomena impak
perubahan iklim yang berlaku di Malaysia. Dalam masa yang sama, juga
menghuraikan mengenai kesan impak perubahan iklim kepada masyarakat dan alam
sekitar.
Page 01