Page 117 - SP2021
P. 117
Watak protagonis Kartini jelas menyampaikan perjuangan berterusan terhadap hak wanita dalam meraih ilmu di mana-mana peringkat atau bidang. Beliau tidak pernah berhenti mencari ilmu dan tidak membenarkan sesiapa menghalangnya atau wanita-wanita lain untuk menimba ilmu. Dalam filem ini, diskriminasi yang wujud dalam budaya patriaki begitu jelas tertonjol apabila abang Kartini dengan mudah dihantar ke Belanda untuk melanjutkan pelajarannya tetapi Kartini perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan biasiswa untuk belajar di Belanda.
Selain itu, Kartini semakin bersemangat untuk memperjuangkan hak wanita dalam mencari ilmu setelah beliau menyedari bahawa agama tidak menghambat wanita daripada mencari ilmu. Kartini bertekad untuk menubuhkan sebuah sekolah untuk wanita di kampungnya sehingga beliau meletakkan syarat-syarat yang antara lain, beliau akan hanya bersetuju untuk berkahwin jika suaminya menyokong impiannya membina sebuah sekolah untuk wanita. Bupati Rembang ikhlas menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh Kartini dan akhirnya mereka bernikah. Tindakan Kartini bernikah dengan suami yang pernah berkahwin dan berusia 25 tahun lebih tua daripadanya, dilihat sebagai satu pengorbanan agar usahanya untuk membina sebuah sekolah untuk kaum wanita tidak sia-sia.
Pada saya, pengorbanan Kartini dalam memastikan wanita berhak menerima ilmu juga dapat dilihat melalui wirawati-wirawati masa kini seperti Malala Yousafzai yang memperjuangkan hak wanita untuk ke sekolah dan menerima pendidikan. Seperti Kartini juga, Malala Yousafzai tidak gentar memperjuangkan hak wanita walaupun ditentang keras pihak Taliban. Filem ini mengingatkan masyarakat bahawa hak perjuangan untuk mendapatkan pendidikan dalam kalangan wanita merupakan satu perjuangan yang berterusan sehingga ke hari ini.
Secara kesimpulannya, filem “Kartini: Princess of Java” berjaya mengetengahkan perwatakan Kartini yang berani dan teguh dalam menegakkan pandangan dan pilihannya sehingga menjadikan Kartini satu contoh teladan bagi wanita-wanita. Semangat kental Kartini memang menjadi inspirasi kepada wanita hari ini agar berani mempertahankan hak kesetaraan dan kesejahteraan wanita. Sebagai seorang yang berketurunan Jawa, filem ini menyentuh hati saya kerana memberi saya semangat untuk memperjuangkan usaha Kartini dalam memastikan wanita-wanita tidak ditindas untuk meraih ilmu setinggi mana atau sedalam manapun. Saya bertekad untuk mengongsi ilmu pengetahuan saya serta
mengamalkan pemikiran bahawa belajar itu merupakan satu proses sepanjang hayat.
JPJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 115