Page 119 - SP2021
P. 119

 keluarga Leman. Mereka disambut meriah di sana dan sikap Poniem yang ramah disenangi oleh keluarga Leman. Namun, ada suara-suara juga yang menunjukkan rasa tidak puas hati kerana Poniem bukan dari keturunan Minangkabau.
Konflik dalam buku ini meningkat apabila masyarakat Padang memaksa Leman beristerikan perempuan Minangkabau untuk memiliki keturunan. Walaupun perit untuk diterima, Poniem yang baik hati reda dan mengizinkan suaminya untuk menikah lagi.
Datanglah Mariatun, seorang
gadis asli Minangkabau.
Hidup bermadu tidak mudah
tetapi Poniem terus bersabar
dan banyak kali mengalah
dengan karenah Mariatun.
Sikap Mariatun berbeza
dengan Poniem. Inilah
yang menyebabkan konflik
berterusan sehingga Leman
merana. Leman pula memenangkan Mariatun dan Poniem diabaikan. Akhirnya, Poniem diceraikan dengan talak tiga. Perniagaan Leman turut merosot disebabkan asyik melayan kemahuan Mariatun. Poniem membawa diri dan akhirnya berkahwin dengan Suyono dan mereka bersama- sama berusaha meningkatkan ekonomi mereka dan akhirnya mereka hidup bahagia.
Saya sedih melihat nasib Poniem yang banyak berkorban demi kasih sayang dan ketaatan kepada Leman. Seperti peribahasa, “tunduk kepala bukan untuk dipijak”, Hamka cuba mengetengahkan tentang kepentingan emansipasi wanita. Poniem banyak menyentuh tentang kepentingan wanita berdikari dan berpegang teguh pada pendirian sendiri. Masyarakat Minangkabau memandang rendah terhadapnya kerana tidak mempunyai zuriat sendiri walaupun sudah berumah tangga dengan suaminya, selama beberapa tahun. Disebabkan persepsi sosial yang negatif, suaminya tunduk dengan desakan adat dan menikahi
wanita Minangkabau yang lebih muda dan lebih cantik daripadanya. Namun, situasi ini tidak melemahkan Poniem malah menaikkan darjatnya sebagai seorang wanita Jawa kerana berpegang pada prinsipnya yang tabah dan berani. Hidup berpoligami tidak mudah tetapi Poniem sabar dengan dugaan yang melandanya.
Selain itu, pengajaran yang saya raih melalui novel ini adalah untuk menghargai pengorbanan dan jasa mereka yang membantu kita untuk mencapai
kejayaan. Sebagai manusia yang tidak sempurna, tidak dapat dinafikan bahawa manusia sering asyik dengan dunia dan terlupa akan pengorbanan orang-orang di sekeliling kita. Situasi digambarkan melalui watak Leman. Setelah berjaya, Leman lupa bahawa Poniem merupakan tulang belakang
dalam perniagaannya. Leman juga lupa pada janji setianya kepada Poniem. Akhirnya, rumahtangga dan perniagaan yang mereka bina bersama-sama runtuh. Dengan itu, penulis mahu mengingatkan pembacanya agar bersyukur dan tidak lupa dengan pengorbanan dan usaha orang lain yang menyumbang pada kejayaan kita, terutama sekali ibu bapa kita. Kita patut menghargai dan membalas budi mereka. Tanpa keredaan mereka, kita mungkin tidak dapat mencapai kejayaan yang kita ingini. Seperti peribahasa Melayu, “Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”.
Secara kesimpulan, novel ini patut dibaca oleh rakan-rakan sebaya kerana banyak pengajaran yang boleh kita raih selain dapat menyingkap sedikit tentang amalan adat dan kesan-kesannya kepada masyarakat. Namun yang lebih utama, novel ini mampu membincangkan isu sosial masyarakat yang dicedok dari pengalaman Pak Hamka.
 JPJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 117















































































   117   118   119   120   121