Page 120 - SP2021
P. 120
ULASAN FILEM
‘Ali & Ratu-Ratu Queens’
Mencari Kebahagiaan
di New York
Raudhah Ilyasa
‘Ali & Ratu-Ratu Queens’ merupakan sebuah filem Indonesia yang diarahkan oleh Lucky Kuswandi. Filem ini mengisahkan seorang pemuda, Ali, yang menziarahi New York dengan tujuan untuk menemui ibunya yang sudah lama meninggalkan keluarganya di Indonesia. Dalam perjalanan untuk mencari ibunya, Ali menetap bersama empat orang wanita, Party, Ance, Biyah dan Chinta, di sebuah flat di Queens. Mereka menghulurkan bantuan untuk mencari ibu Ali dan Ali juga kemudiannya jatuh cinta kepada anak Ance, Eva. Namun, rakan-rakan serumah ini akhirnya menjadi sebuah keluarga apabila ibu Ali, Mia, enggan menerima Ali sebagai anaknya kerana ingin meneruskan kehidupan sempurna bersama keluarganya yang baharu di New York. Dengan bekerjasama, mereka dapat membuka sebuah restoran yang dinamakan Ratu Ratu Queens.
Filem ini mengetengahkan beberapa isu yang penting. Isu utama cerita ini ialah perjalanan sehala mencari penutupan. Perjalanan sehala ini diketengahkan sepanjang filem ini. Dari permulaannya, Ali membeli tiket jalan sehala dari Indonesia ke New York dan di tengah filem ini, apabila meneroka New York mencari ibunya, Ali asyik menemui papan tanda jalan sehala. Pada akhir cerita ini, perjalanan sehala ini ditekankan lagi dalam video yang dibuat oleh Ali, untuk minta maaf kepada rakan-rakannya, yang dengan bijaknya dinamakan ‘One Way’. Filem ini ingin mengajak penonton menyelongkar jalan sehala. Kita tidak sepatutnya hanya memikirkan tentang masa lalu tetapi juga tentang masa kini dan masa depan. Kita patut mengambil jejak langkah ke hadapan dan bukan ke belakang untuk mengatasi masalah kita, kerana penyelesaiannya tidak dapat
dijumpai dalam masa yang sudah terlepas. Oleh itu, Ali dapat menutup masa lampaunya dengan menjumpai keluarga yang baharu dan memaafkan ibunya untuk segala kesilapan yang dahulu demi melangkah ke masa hadapan. Dia puas hati dengan pengalamannya serta kehidupannya dan tidak lagi bergantung pada ibunya untuk mencari kebahagiaan.
Namun, jalan sehala ini tidak dapat diaplikasikan dalam semua aspek kehidupan kita. Filem ini juga mengetengahkan isu bahawa kehidupan kita mempunyai banyak jalan dan kita tidak terikat pada satu jalan sahaja.
Di New York ada banyak plank satu arah, tapi juga menyediakan banyak jalan untuk jadi diri sendiri.
Ma, ada banyak jalan untuk diterima. Seperti ada banyak cara untuk dikecewakan. Ada banyak jalan agar kita menjadi satu keluarga. Seperti ada banyak jalan untuk mencintai dan jadi diri sendiri.
118 ULASAN • NJC