Page 165 - SP2021
P. 165
Muhammad Mustafa Abdullah
Kandungan Pencipta Boleh Mengelirukan Pengguna
Dewasa ini, penggunaan aplikasi TikTok telah meningkat dalam kalangan orang muda. Aplikasi tersebut ialah sebuah perkhidmatan rangkaian sosial yang dimiliki oleh ByteDance, yang berpangkalan di Beijing, China. Pengguna TikTok boleh mengongsi video-video mereka yang mengandungi isi seperti tarian, komedi, dan komentari. Pada pendapat saya, TikTok tidak boleh menjadi alat pembelajaran yang berkesan jika dibandingkan dengan pembelajaran di sekolah.
Untuk memastikan pembelajaran seseorang berkesan, dia harus betul-betul memahami topik yang akan dipelajari, mendapatkan kandungan yang sesuai untuk dia fahami dan juga berinteraksi bersama pencipta kandungan tersebut. Namun, pencipta kandungan dalam TikTok tidak boleh memberi kandungan yang mencukupi kerana ia hanya boleh menyiarkan video selama seminit sahaja. Ini menjadikan video-video yang disiarkan mungkin tidak sesuai untuk kebanyakan orang dan mereka juga tidak boleh mengadakan interaksi seperti di sekolah iaitu melakukan tugasan supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat menjadi efektif. Ringkasnya, pembelajaran terbatas kerana pengguna hanya boleh menonton video-video dalam TikTok tanpa meresap apa-apa ilmu dengan berkesan.
Selain itu, kandungan dalam TikTok sukar untuk dipercayai kerana ada banyak maklumat yang tidak sahih. Pencipta isi video mungkin bukan seorang yang amanah dan tidak boleh dipercayai. Akibatnya, maklumat yang didapati akan mengelirukan orang lain kerana tersasar daripada kebenaran.
Keseluruhannya, saya percaya bahawa TikTok boleh menyiarkan maklumat dengan ringkas dan mungkin memaparkan fakta-fakta ataupun meningkatkan kesedaran tentang isu-isu yang berguna kepada orang, tetapi tidak begitu efektif untuk digunakan bagi pembelajaran. Pembelajaran harus dilakukan di sekolah secara rasmi supaya pengguna boleh tahu tentang ilmu yang mahu dipelajari dengan lebih mendalam.
YIJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 163