Page 62 - SP2021
P. 62
Sesi Orientasi MLEP di YIJC
Nur Hidayah Binte Salim Muhammad Nadym Bin Zulkepli
Tanggal 16 Februari 2021, pelajar MLEP Tahun 2 telah mengadakan sesi orientasi bagi pelajar MLEP Tahun 2. Dengan menggunakan jalan cerita cerpen ‘Suatu Perjalanan Sebuah Peta Sebuku Roti’ sebagai tema bagi acara orientasi ini, niat pelajar MLEP Tahun 2 adalah untuk menghidupkan watak Alif yang menunjukkan kepentingan pendirian dalam hidup seorang remaja. Bukan hanya ia sesuai bagi pelajar Tahun 1 yang masih menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang baharu, malah, acara ini sekaligus memperkenalkan sebuah karya yang bakal dipelajari mereka. Walaupun terpaksa mengikut langkah pengurusan keselamatan yang telah ditetapkan dengan ketat, para pelajar Tahun 2 tetap melakukan yang terbaik supaya pelajar baharu dapat mengalami dan diperkenalkan kepada keindahan tema-tema yang disentuh dalam teks kesusasteraan yang bakal dipelajari.
Acara orientasi pada petang itu bermula dengan sesi pengenalan antara pelajar Tahun 1 dan Tahun 2. Sebagai aktiviti suai kenal, pelajar Tahun 1 dikehendaki memperkenalkan diri masing-masing
dengan memberikan nama dan melakukan aksi yang menggambarkan hobi mereka. Setelah itu, Cikgu Najmah pula dijemput untuk memberikan ucapan alu-aluan kepada para pelajar baharu. Sesi ini amat bermakna bagi pelajar Tahun 1 meskipun terpaksa mematuhi peraturan jarak selamat.
Aktiviti pertama yang diadakan bertajuk ‘Cari Jalan Yang Benar,’ iaitu permainan mencari harta karun. Pelajar Tahun 1 dibawa ke sebuah bilik dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Seperti watak Alif dalam ‘Suatu Perjalanan Sebuah Peta Sebuku Roti’ yang harus membezakan antara yang buruk dengan baik sepanjang perjalanaannya ke masjid, seorang pelajar daripada setiap kumpulan akan menutup mata dan dikehendaki mengutip gambar-gambar yang melambangkan perkara- perkara yang positif seperti ilmu dan kasih sayang. Ahli kumpulan yang lain harus memberikan arahan yang tepat supaya pelajar yang ditutup matanya tidak akan mengambil kepingan gambar yang melambangkan sesuatu yang negatif seperti arak. Permainan ini tercetus daripada idea untuk menghidupkan lambang-lambang penting dalam karya tersebut seperti roti dan peta.
Apabila para pelajar Tahun 1 sudah semakin selesa antara satu sama lain, aktiviti kedua pastinya dapat dijalankan dengan lancar. Aktiviti ini menggunakan konsep peta dalam bentuk sebuah permainan. Permainan ‘Ikut Peta Itu’, menghendaki para pelajar mengikut peta demi mencari lima keping gambar yang boleh disusun untuk dijadikan bentuk hati. Walau bagaimanapun, permainan ini dianggap sedikit sukar kerana ada beberapa laluan yang sebenarnya tidak menuju ke arah yang tepat. Oleh sebab itu, para pelajar harus cuba mengikuti pelbagai laluan sebelum menjumpai gambar- gambar yang diinginkan. Objektif permainan ini lebih nyata kerana mencerminkan jalan kehidupan manusia yang hakikatnya sebuah percubaan dan banyak mengharungi kesilapan demi mencari erti kehidupan.
60 DIARI • YIJC