Page 79 - SP2021
P. 79
Mohamed Mustaffa
Maktab Rendah Yishun Innova
Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada program baharu ini bersama Dr. Azhar Ibrahim yang telah memimpin program ini. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara Wahyudi Akmaliah dan Saudara Chabib Duta Hapsoro yang telah menjadi fasilitator yang telah mempertingkatkan pengalaman pembelajaran kami semasa mengikuti program ini.
Sepanjang enam bulan, saya bersama pelajar- pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) dari beberapa maktab rendah telah menyertai kuliah-kuliah bebas yang dibentangkan oleh Dr. Azhar. Kami didedahkan kepada ilmu yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu menerusi beberapa modul kuliah yang diajarkan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Kandungan yang tersurat dalam kuliah-kuliah tersebut menjulat daripada pengenalan tokoh-tokoh kesusasteraan Melayu, nasionalisme masyarakat Melayu dan akhirnya ke ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan Melayu. Tentunya, saya telah mempelajari banyak perkara baharu yang sangat terperinci dan meluas. Perkara- perkara tersebut telah mendorong saya untuk merenung persoalan-persoalan yang wujud dalam masyarakat Melayu yang dapat dikaitkan dengan dunia Melayu pada masa kini dengan teliti. Dalam penulisan saya ini, saya akan berkongsi tentang topik-topik yang telah saya pelajari.
Pertama sekali, kami telah diperkenalkan kepada tokoh bahasa Melayu yang boleh dikatakan amat penting dalam masyarakat Melayu, iaitu Munshi Abdullah (1796-1854). Beliau terkenal sebagai pemangkin sastera Melayu dalam abad ke-19, yang telah menyerapkan pemikiran intelektual dalam dunia Melayu dan telah mengubah landskap sastera Melayu di Nusantara pada abad itu dengan memberikan kita bahasa ’Baharu’. Ini dapat dilihat dalam beberapa karyanya, termasuk karyanya yang ternama, iaitu ‘Hikayat Abdullah’. Sumbangan beliau ialah sebuah cakerawala bahasa dan pandangan dalam dunia Melayu pada abad tersebut. Selain itu, beliau telah mengusahakan percetakan Sejarah Melayu, pengumpulan sastera Melayu lama, menterjemahkan sebuah karya
bertajuk ‘Hikayat Panca Tanderan’ daripada bahasa Tamil kepada Bahasa Melayu, menghasilkan sebuah ‘Travelog’ dan autobiografi yang penting kepada pencatatan perkembangan penduduk Nusantara.
Dari sudut penulisan, beliau telah memperkenalkan unsur realisme dalam sejarah pemikiran Melayu melalui karya-karyanya. Lantas, beliau juga telah memperkenalkan unsur teguran atau kritik sosial dari segi sikap masyarakat ataupun kepimpinan Melayu. Ini dilakukan dengan menggunakan unsur pesanan dan ajakan ataupun unsur didaktik. Cara ini menunjukkan rasa empati terhadap permasalahan masyarakat Melayu dan kemahuan untuk mengubah tanggapan dan kelakuan mereka terhadap bahasa dan sastera.
Salah satu persoalan yang sering kali dibincangkan oleh Abdullah adalah cara bahasa harus dimajukan. Sebagai seorang intelektual yang ada cinta mendalam terhadap bahasa Melayu, beliau merasakan bahawa masyarakat Melayu, termasuk pemimpin-pemimpin Melayu, tidak mempedulikan pembangunan bahasa mereka sendiri. Ini dapat dilihat melalui kejahilan mereka terhadap menangani perkembangan bahasa Melayu. Maka itu, bahasa Melayu masih tersangkut dalam fasa lisan pada awal abad ke-19. Lantas, untuk menyelesaikan masalah ini, mereka harus “...berjinak-jinak dengan hikayat- hikayat bahasa Melayu, kerana ada dalamnya itu tersembunyi beberapa benda-benda yang mulia.” Menurutnya, pengabaian bahasa dan ilmu seiring kerana bahasa menampung ilmu. Fungsi bahasa adalah untuk memberikan rakyat peluang untuk maju ke hadapan dan menguasai ilmu jitu. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Azhar, adalah penting bagi rakyat untuk mendapatkan peluang tersebut supaya mereka dapat “lepas dari belenggu kejahilan dan masuk pula dalam alam kemajuan.”
Bertitik tolak daripada pemahaman terhadap kepentingan perkembangan bahasa Melayu, Munshi Abdullah telah berhasil memulaka banyak perbincangan tentang pemikiran intelektual di Nusantara. Ramai tokoh politik, seni dan sebagainya pula telah giat aktif
YIJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 77