Page 78 - SP2021
P. 78

 Nurin Izza Ahmad Nizam
Maktab Rendah Tampines Meridian
Sebelum saya dipilih untuk menyertai program pementoran ini, saya telah menitipkan tulisan ringkas tentang minat saya untuk menyertai program ini. Tulisan ringkas itu mencerminkan objektif-objektif yang ingin saya capai dalam program ini. Semasa saya memikirkan tentang pengalaman saya, saya kembali kepada tujuan saya menyertai program ini. Walaupun saya tidak dapat pergi ke kampus NUS seperti yang dirancangkan lebih awal oleh pihak Kementerian Pendidikan yang ingin memberikan pengalaman dan gambaran tentang pembelajaran dan kehidupan di kampus, saya tetap ghairah untuk menyertai melalui Zoom.
Ternyata, keinginan untuk menimba pengalaman baharu di samping memperkaya pengetahuan saya tentang bahasa Melayu tercapai apabila berinteraksi secara langsung dengan seorang pakar dalam pengajian Melayu, iaitu Dr. Azhar Ibrahim. Saya telah mempelajari banyak ilmu daripada beliau dalam pelbagai topik yang dibincangkan. Salah satu topik tersebut ialah tentang Munshi Abdullah dan Dunia Bahasa. Dr. Azhar dapat mengaitkan pelbagai perkara dengan topik yang dibincangkan dan saya
juga dapat mempelajari tokoh-tokoh yang saya tidak ketahui sebelum ini.
Selanjutnya, program ini telah menyediakan wadah bagi saya mempelajari cara menghayati karya dengan lebih mendalam menerusi sesi bimbingan dan ceramah kesusasteraan bersama Dr. Azhar. Kesusasteraan merupakan topik perbincangan
bulan September, iaitu ‘Sastera Untuk Kemanusiaan: Masuri S.N. dan Usman Awang’. Satu perkara yang menarik perhatian saya dalam sesi Zoom bulan tersebut adalah cara
Dr. Azhar dapat mengaitkan topik tersebut dengan sejarah dan tanggungjawab golongan muda pada zaman kini. Golongan muda mempunyai tanggungjawab untuk memajukan masyarakat dan negara. Mereka tidak boleh terlalu meromantiskan sejarah, sebaliknya harus berfikiran kritis apabila mengkaji sejarah itu. Bahan bacaan yang dikongsi oleh Dr. Azhar juga amat menarik kerana terdapat pelbagai ilmu yang boleh diraih seperti bahasa yang digunakan pada masa dahulu dan juga perspektif penulis tentang masyarakat dan dunia Melayu. Saya dapat mempelajari banyak perkara melalui pembacaan dan perbincangan dalam program pementoran ini.
Program pementoran tersebut telah membawa pelbagai faedah untuk saya dan rakan-rakan saya. Saya dapat berbincang dengan pakar dalam Pengajian Melayu dan juga pelajar-pelajar dari maktab yang lain. Perbincangan tersebut memberikan perspektif yang menarik kepada saya. Setiap objektif yang saya hajatkan dalam program ini telah tercapai. Saya berharap ramai lagi pelajar dapat diberikan peluang untuk mengikuti program
ini agar mereka berpeluang mempelajari topik- topik ini dan menyebarkannya kepada
rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Azhar Ibrahim, Sdr. Wahyudi dan Sdr. Chabib
atas segala usaha mereka untuk menjadikan sesi Zoom menarik di samping berkongsi pengetahuan dan maklumat baharu setiap bulan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MOE kerana memberikan saya peluang kepada saya untuk menimba dan memperkasakan ilmu saya tentang budaya, sejarah, bahasa dan sastera
Melayu.
 76 DIARI • TMJC




















































































   76   77   78   79   80