Page 9 - SP2021
P. 9

 MAKTAB RENDAH
TAMPINES MERIDIAN
Penerbitan Saujana Pujangga yang merakamkan program-program pengayaan dan pencapaian pelajar bukan sahaja istimewa untuk para pelajar MLEP tetapi juga merupakan nara sumber yang kaya kepada semua pencinta bahasa Melayu.
Pandemik COVID-19 telah banyak mengubah kehidupan kita. Kita amat bersyukur kerana di Singapura, kita diberikan sokongan yang kukuh untuk
memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan di sekolah-sekolah. Seberapa boleh, kita berusaha untuk menggalakkan interaksi bersemuka kerana kita tahu cara interaksi sebegini lebih bermanfaat. Oleh itu, kami di Maktab Rendah Tampines Meridian sangat teruja apabila kami berupaya mengendalikan dua buah bengkel kebudayaan secara fizikal sebelum Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dilaksanakan di seluruh Singapura pada tahun ini. Bengkel-bengkel ini ialah Bengkel Penulisan Khat dan Bengkel Tarian Kontemporari Melayu. Pengalaman sebegini amatlah berharga kepada para pelajar kami kerana telah dapat membantu mereka mendalami pengetahuan, penghayatan dan cinta terhadap kebudayaan Melayu.
Selain itu, kami juga turut berbangga apabila tiga orang pelajar MLEP kami, terpilih untuk menyertai Program Pementoran MLEP-NUS. Mereka adalah Diyana Farihah Binte Zaidi (21S502), Nur Syifa Binte Mohamad Fadzly (21A301) and Nurin Izza Ahmad Nizam (21A301). Program pementoran ini membuka banyak peluang kepada mereka untuk berdialog dengan Dr Azhar Ibrahim, seorang pensyarah mapan dari Jabatan Pengajian Melayu NUS. Mereka juga berpeluang untuk menghadiri pelbagai ceramah akademik dan kesusasteraan anjuran Universiti Nasional Singapura, Lembaga Warisan Nasional dan Lembaga Perpustakaan Negara.
Di Maktab Rendah Tampines Meridian, kami juga mengajar pelajar kami tentang kepentingan berkongsi ilmu dan kecintaan terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. Dengan memastikan kami mematuhi prosedur pengurusan jarak selamat, usahasama yang kami lakukan bersama Sekolah Menengah Temasek setiap tahun dapat dijalankan tetapi secara maya. Tahun ini, kami memberikan penumpuan terhadap pendeklamasian sajak secara artistik. Para pelajar MLEP kami berperanan sebagai pemudah cara kepada rakan-rakan di Sekolah Menengah Temasek semasa mengadakan pertandingan puisi artistik secara maya (PuiSinergi) pada Ogos 2021. Ini adalah percubaan pertama kami menggunakan portal maya untuk menggalakkan persembahan puisi maya. Ternyata usaha kami diterima baik dan berjaya menambat hati pelajar-pelajar yang terlibat dalam acara tersebut.
Semoga pada tahun-tahun yang mendatang, kita masih dapat meneruskan usaha-usaha yang murni ini untuk melestarikan kecintaan terhadap pembelajaran bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu di sekolah- sekolah, tidak kira sama ada kita masih lagi dibelenggu COVID -19 ataupun tidak.
Cik Pamela Yoong
Pengetua
Maktab Rendah Tampines Meridian
 TMJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 07























































































   7   8   9   10   11