Page 7 - SP2021
P. 7

 MAKTAB RENDAH
KEBANGSAAN
Sejak MLEP dimulakan di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) pada tahun 2020, para guru MLEP NJC telah menggunakan istilah Cendekia sebagai gelaran bagi para pelajar MLEP kami. Gelaran ini merupakan amanat yang harus dipegang oleh para Cendekia kami yang diharapkan akan menjadi golongan inteligensia generasi masa hadapan yang bakal memartabatkan bahasa dan budaya Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Selama dua tahun ini, saya amat gembira melihat perkembangan kohort perintis kami yang telah menunjukkan ciri-ciri bakal bahasawan, sarjana sastera dan pejuang budaya Melayu. Diharapkan agar para Cendekia MLEP NJC akan terus menjadi duta budaya dan pempengaruh bahasa Melayu.
Bagi merealisasikan visi MLEP NJC, iaitu melahirkan para PEJUANG BAHASA. PENCINTA SASTERA. PEMBELA BUDAYA, para Cendekia kami telah mendalami dunia bahasa, sastera dan budaya Melayu yang kaya melalui bengkel-bengkel pengayaan seperti Asas Penterjemahan, Penulisan Lirik Lagu serta Apresiasi Sajak yang selari dengan program-program tukikan MLEP NJC, iaitu Penterjemahan dan Muzik Melayu. Bengkel-bengkel pengayaan yang diadakan dalam program selama dua tahun ini telah dibina dan dikendalikan oleh para guru kami sendiri dan seorang penulis lirik/penyair tempatan yang mapan. Kegiatan ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan kemahiran penterjemahan serta
menyemai rasa kecintaan yang mendalam terhadap budaya Melayu dalam jiwa para Cendekia kami.
Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada salah seorang Cendekia kami, iaitu Qistina Athirah Mohamed Isa, Ketua Pelajar kohort pertama MLEP NJC kerana telah dinobatkan oleh pihak Kementerian Pendidikan sebagai Valedictorian MLEP bagi kohort 2020-2021. Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan kepada Qistina atas usahanya untuk mengembangkan pengaruh MLEP NJC melalui platform media sosial. Qistina telah berjaya menggunakan platform ini sebagai wadah bagi teman-teman MLEP NJC untuk mempamerkan karya-karya kreatif mereka yang kemudiannya telah menarik minat pengikut-pengikut yang terdiri daripada golongan penulis, pelatih dan individu-individu penting dalam arena seni dan sastera tempatan. Bukan itu sahaja, Qistina juga telah menjadi nadi penggerak dalam proses rekaan konsep bilik MLEP NJC yang dinamakan Sanggar Cendekia serta menerbitkan video pertama bagi mempromosikan MLEP NJC kepada para pelajar sekolah menengah. Selain itu, Qistina juga telah menyandang jawatan sebagai naib ketua jawatankuasa penganjur Peraduan 3T 2021, iaitu peraduan penterjemahan tahunan bagi sekolah- sekolah menengah yang diterajui oleh NJC sebagai merupakan penganjur nasional. Meskipun Peraduan 3T ini dijalankan secara maya, peraduan ini telah berjaya menarik penyertaan 120 orang pelajar dari 41 buah sekolah menengah. Tahap komitmen dan kepemimpinannya yang tinggi ini diharapkan akan menjadi teladan kepada para Cendekia yang lain.
Tahniah juga kepada para Cendekia MLEP NJC tahun kedua yang telah berjaya merangkul gelaran juara nasional dalam peraduan mendeklamasi sajak ‘Bisikan Pena’ (Kategori Maktab Rendah) anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura. Dalam peraduan ini, pasukan Cendekia kami telah dengan kreatifnya mendeklamasikan sajak karya mereka sendiri dengan begitu kreatif sekali, lengkap dengan pemakaian kostum yang menarik. Usaha para Cendekia kami ini menunjukkan rasa komitmen setiap ahli dalam mendorong satu sama lain untuk berjaya sebagai sebuah pasukan.
Sebagai penutup bicara, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada para Cendekia MLEP NJC atas sumbangan mereka kepada Saujana Pujangga. Dengan kesungguhan para Cendekia serta ketekunan dan ketelitian para guru MLEP NJC, saya yakin kami dapat merealisasikan visi memupuk para Cendekia yang bakal memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu.
Encik Ang Pow Chew Pengetua
Maktab Rendah Kebangsaan
 NJC • SAUJANA PUJANGGA 2021 05
























































































   5   6   7   8   9