Page 6 - SP2021
P. 6
MAKTAB RENDAH
JURONG PIONEER
Tirai tahun 2020 dilabuhkan setelah menyaksikan beberapa aktiviti pengayaan terpaksa dibatalkan. Namun, pada tahun ini, para pelajar MLEP Maktab Rendah Jurong Pioneer (JPJC) dapat kembali menyertai beberapa aktiviti pengayaan MLEP. Walaupun kebanyakan aktiviti MLEP di JPJC pada tahun ini dijalankan secara maya, para pelajar tetap bersemangat dan melibatkan diri secara aktif. Sifat daya bingkas yang ditonjolkan ini benar-benar membanggakan.
Bergerak seiring dengan persekitaran yang dinamik, kami sentiasa mencari peluang-peluang baharu untuk menyuntik kesegaran dalam aktiviti MLEP di JPJC. Tahun ini menyaksikan para pelajar MLEP Tahun 1 kami beramah mesra dengan pelajar-pelajar Program Khas Bahasa Melayu (MSP) dari Sekolah Tinggi River Valley melalui sesi perkongsian budaya dan bahasa. Para pelajar kami berkesempatan untuk melibatkan diri dalam komunikasi berbahasa Melayu yang sesuai mengikut konteks dan audiens. Para pelajar dari program ini perlu terus didorong untuk menjadi pemimpin bahasa dan budaya yang cakna akan perubahan dalam masyarakat justeru bertekad untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran itu selain melestarikan bahasa dan budaya Melayu.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar MLEP Tahun 1 yang berjaya meraih Biasiswa MOE-MLEP. Selaku penerima biasiswa, saya ingin mengingatkan pelajar-pelajar ini akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar dan peri pentingnya mereka menjadi suri teladan kepada rakan-rakan MLEP yang lain. Carilah peluang untuk membina rangkaian hubungan antara pelajar- pelajar selain bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman. Semoga penerima biasiswa dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.
Penerbitan Saujana Pujangga sememangnya dinanti-nanti saban tahun kerana penerbitan ini memuatkan hasil kerja para pelajar MLEP yang secara langsung menonjolkan potensi mereka dalam bidang penulisan sastera dan bahasa. Saya dapat lihat bahawa pelajar-pelajar dapat menghasilkan karya seni yang kreatif, inovatif, kritikal dan seiring dengan landskap keadaan yang berubah-ubah. Yang pastinya, Saujana Pujangga menjadi salah satu wadah yang baik untuk mempromosikan program MLEP kepada bakal pelajar.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan pihak-pihak yang berkepentingan yang terus berusaha menjayakan aktiviti-aktiviti MLEP tahun ini di sebalik keadaan yang tidak menentu. Saya berharap aktiviti-aktiviti yang akan diadakan terus memberi peluang untuk para pelajar MLEP memupuk bakat berbahasa selain menghargai sastera dan budaya Melayu mereka dengan lebih mendalam.
Dr. Hang Kim Hoo
Pengetua
Maktab Rendah Jurong Pioneer
04 PRAKATA • JPJC