Page 96 - SP2021
P. 96
HADIAH RAKAN BAIK
Katanya, kurang pendidikan agama.
“Mereka sibuk mengejar kejayaan duniawi. Tetapi, kejayaan akhirat?” Itulah kali pertama Si Pendiam menitiskan air mata di hadapanku.
Menarik pula kehidupan Si Pendiam ini. Hatiku berkata. Dahulu, dia seorang Ustazah yang mengajar Sirah Islam di madrasah yang akhirnya terpaksa dirobohkan untuk memberi jalan kepada pembinaan sebuah hab perniagaan. Kini dia menjadi seorang penduka lara yang kesal kerana tidak dapat mengongsi ilmunya bersama orang lain.
“Apa guna ilmu, jika disimpan sahaja?” ngomel Si Pendiam.
Minggu pertama, kedua dan ketiga, Si Pendiam hanya bercerita tentang perasaan kesalnya terhadap kehidupannya. Dia masih menanti- nantikan kedatangan kawan baiknya. Satu misteri. Aku tidak lagi bosan dengan luahannya. Aku semakin tertanya-tanya. Penuh misteri.
Kini aku tidak sabar menanti giliran untuk berjumpa Si Pendiam. Aneh. Tiap kali aku berjumpanya, aku hadiahkannya sebuah buku baharu. Setiap buku habis dibaca. Setiap pertemuan ada sahaja perkara baharu yang dikongsi dengan aku. Aku terpaku. Aku semakin curiga. Misteri. Penuh misteri.
Si Pendiam
“Ya Allah, bukalah pintu hati Zahra untuk menimba ilmu-Mu. Tetapkanlah ilmu-Mu di dalam hatinya, Yaa Rab.”
Setelah beberapa minggu, telah banyak Si Pendiam mengajar aku pendidikan sejarah Islam, keistimewaan wanita dalam Islam, Al-Hadith
pun dibicarakan olehnya. Di dalam tanganku, aku membawa buku baharu bertajuk ‘Setajam Sirat ‘ untuk dikupas oleh Si Pendiam. Tanpa aku sedari, aku mula terikat kepada cahaya ilmu yang dikongsinya. Aku terpukau olehnya. Dia seolah- olah ahli silap mata.
Dibesarkan tanpa keluarga, aku hilang arah dalam kehidupan ini. Mungkin, dia panduanku, hidayah yang diturunkan oleh Tuhan.
Aku melangkah masuk ke dalam biliknya yang terang. Si Pendiam sedang dikelilingi ramai orang. Serangan jantung? Mujurlah, Si Pendiam dapat diselamatkan. Hatiku berasa lega mendengar keadaan Si Pendiam.
“Nak, Cik tidak boleh bertahan lama. “ Mukanya bertukar menjadi merah padam.
Kata-kata itu menikam terus ke jantungku. Dengan senyuman palsu, aku teringat akan kawan baiknya yang akan menziarahinya. Dengan suara yang penuh harapan, aku cuba untuk mententeramkan hati Si Pendiam. Aku pujuk dirinya supaya terus kuat agar dapat melihat kedatangan kawan baiknya itu dan hadiah yang akan dibawanya. Si Pendiam tersenyum, kelopak matanya berair.
“Zahra tidak tahu? Kawan baik Cik, Malaikat Maut?” jantungku berdegup-degup kencang.
Aku tersentak. Rupa-rupanya itulah hadiah yang dinanti-nantikan selama ini. Kematian. Kematian yang melegakan tetapi menyakitkan. Mendekatkannya kepada Ilahi dan menjauhkannya daripada yang dicintai. Aku hanya dapat membelai rambutnya dengan penuh kasih sayang.
“Dan pada akhir nafasku, adalah mulanya perjuanganku”
Aku tidak bersedia untuk melepaskan Si Pendiam. Aku harus bertindak.
“Siapakah nama Mak cik?” aku akhirnya bersuara. ‘Fatimah. Fatimah Imran.’
Aku lihat air jernih mengalir di pipinya. Nafas terakhirnya.
Dengan terpadamnya cahaya hidup Fatimah, bernyalalah pula misi baharuku, sebagai seorang pejuang ilmu.
94 CERPEN • JPJC