Page 98 - SP2021
P. 98
MASA TIDAK MENUNGGU SESIAPA
Aku sekarang berada di NUH sedang menunggu diagnosis daripada doktor setelah melalui beberapa pemeriksaan kesihatan. Ternyata, esok tetap hadir dalam hidupku.
“Nombor 89. Kamu boleh jumpa doktor sekarang,” maklum sang jururawat. Hatiku berdebar-debar. Aku seolah-olah diserang rasa cemas yang meluap- luap. Aku melangkah masuk ke dalam bilik doktor. Longlai.
“Zamri Mohamad Latiff?” tanya doktor itu. Aku mengangguk kepalaku sambil duduk.
“Menurut rekod kamu, kamu pernah didiagnosis dengan penyakit barah paru-paru dahulu, betul? Oleh sebab kamu didiagnosis awal, kemoterapi yang sudah kamu lalui beberapa tahun dahulu telah membuat kamu bebas daripada penyakit barah ini. Malangnya, sekarang saya terpaksa menyampaikan berita yang tidak mudah untuk saya sampaikan... Penyakit barah awak sudah kambuh.”
Saat mendengar kata-kata doktor itu, hatiku retak seribu. Jiwaku hancur. Perasaan sebak menyelinap di seluruh jasadku. Apakah dosa yang telah aku lakukan sehingga Tuhan mahu mengujiaku sebegini. Adakah ini semua balasan atas segala kesilapanku dahulu? Ketagihan pada rokok yang membawa takdir ini kepada aku. Aku yang membawa takdir ini kepada diriku. Ia serupa balasan kerana dahulu, aku melawan kata-kata ibu bapaku. Sudah berbuih mulut mereka menasihati aku agar berhenti merokok, tetapi sepatah pun aku tidak dengar. Sehingga semuanya terlambat.
Selepas mendengar arahan sepenuhnya daripada doktor, aku pulang. Aku diberi cuti sakit selama seminggu untuk berehat di rumah. Masaku di rumah langsung tidak produktif. Aku masih terpinga-pinga; masih tidak boleh percaya. Seminggu itu, aku diulit kemurungan. Walaupun berada di rumah seorang diri, aku hilang segala ketenteraman dan kesepianku. Aku menyesali tabiatku yang ketagih akan puntung musibah itu. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur dan aku tidak mempunyai kuasa untuk mengundurkan putaran masa. Apa yang tinggal kini hanya seribu penyesalan yang tiada kesudahannya.
Hari ini hari minggu. Aku baru sahaja pulang daripada hospital setelah melalui sesi kemoterapiku. Aku seperti bangkai bernyawa. Segala tenagaku hilang entah ke mana. Diriku pula sering dihantui perasaan negatif. Sekarang aku kembali semula ke rumah ibu bapaku. Aku pulang ke sana seperti aku pulang selepas waktu sekolah pada zaman kanak- kanakku. Walaupun aku tidak mendengar nasihat mereka dahulu, aku memerlukan sokongan mereka sekarang.
“Assalamualaikum,” aku memberikan salam. Ibuku menjemput aku masuk. Tanpaku sedari, aku mula mengadu kepadanya.
“Apa yang engkau kesalkan sekarang? Ini semua terjadi kerana kuasa Tuhan. Ini semua takdir, Ri. Janganlah engkau berfikir negatif lagi. Ia hanya akan menjejas kesihatan engkau. Sekarang, fokus kepada hidup yang sihat. Tak guna engkau kemurungan. Tuhan tidak akan menguji hamba-Nya lebih daripada apa yang mampu ditanggungnya. Sabarlah ya, nak,” kata ibuku sambil mendakap aku dengan penuh kasih sayang. Aku membiarkan sahaja diriku lenyap dalam kehangatan dakapan ibu.
“Betul cakap ibukau itu. Apa lagi yang boleh kau buat selain menjaga kesihatankau sekarang? Kau belum terlambat, Ri. Kau masih ada masa. Kau sudah menang melawan barah satu kali. Jadi, lawanlah lagi. Tak guna engkau mengadu sahaja. Buat sesuatu untuk memperbaik situasi ini. Ayah dan Ibu akan sentiasa menyokong engkau. Buat masa ini, kau tinggallah dengan kami. Di sini, sekurang-kurangnya makan pakai terjaga,” nasihat bapaku.
Aku terharu mendengar kata-kata ibu bapaku. Walaupun sudah beberapa kali aku bersikap kurang ajar terhadap mereka, mereka sentiasa bersedia untuk membantu aku. Kata-kata mereka memang tepat. Tidak guna aku barasa kesal terhadap apa yang sudah terjadi. Malah, aku sepatutnya berusaha untuk menghadapi masa hadapan dengan lebih baik. Kata-kata mereka bak semangat membara yang telah memberi aku motivasi. Aku tidak harus berputus asa, aku sepatutnya melawan. Kalau dulu aku sanggup melawan kata-kata ibu bapaku, mengapa pula kini aku harus gentar melawan barah? Sekarang, tekadku untuk terus hidup semakin berkobar- kobar.
Setelah beberapa kitaran sesi kemoterapi aku harungi dengan gagah, setelah banyak helaian rambutku gugur ekoran kesan kemoterapi, aku akhirnya berjaya. Dua tahun berlalu dan kini aku telah berjaya menewaskan si barah durjana itu sekali lagi. Kata ibu, mujurlah aku ini dilahirkan sebagai lelaki. Botak pun tidak mengapa. Kata ayah pula, botak itu menawan sama seperti dirinya yang sudah botak licin buat sekian lamanya.
Memang betul kata kedua-dua orang tuaku. Hanya masa boleh menyembuhkan keadaan. Dengan usaha dan kesabaran, aku dapat meneruskan hidupku dengan norma-norma baharu. Masa sememangnya tidak akan menunggu sesiapa dan segala yang kita lakukan sekarang, akan menjejas diri kita pada hari muka. Jadi, tidak guna menyesali masa yang sudah berlalu, kerana apa yang penting merupakan masa hadapan kita.
96 CERPEN • NJC