Page 66 - Tinta Aksara 2021
P. 66
Cincin Kesayanganku
Syarifah Radhiyah D/O Mohd Rafi (3F) Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun) (Pusat EMAS ANDSS)
64
Hatiku berdebar-debar. Jantungku bergoncang bagaikan mahu memecahkan rangka dadaku. Mana cincinku? Bagaimanakah aku boleh kehilangannya? Adakah cincin itu terjatuh semasa aku sedang mengemas rumah ataupun semasa aku di pasar membeli sayur? Pelbagai soalan menceroboh alam fikiranku sedang aku menggeledah bilikku. Aku menolak semua benda di atas meja di sebelah katilku dan membuka semua laci. Namun, aku masih tidak dapat menemui cincin kesayanganku.
Ramai orang tidak dapat memahami kepentingan cincinku itu. Daripada perspektif mereka, cincin itu hanya sebentuk cincin biasa. Namun, bagi aku cincin itu merupakan simbol bagi ketiga-tiga anakku, Hamida, Sultan dan Billal. Bagiku, cincin itu merupakan harta bendaku yang paling bernilai dan berharga. Apabila aku mempunyai cincin itu di sisiku, aku berasa nyaman. Namun, apabila tidak ada dengan aku, aku berasa amat risau dan gelisah. Aku selalu menjangkakan bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku kepada anakku-anakku jika aku tidak mempunyai cincinku itu.
Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi dan aku dikejutkan daripada lamunanku. Aku tidak mahu menjawab panggilan itu. Aku tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun sehingga aku dapat menemui cincinku. Aku menekup telingaku dan menutup mataku sambil menunggu bunyi kuat itu untuk berhenti supaya aku dapat menyambung pencarianku. Namun, deringan itu tidak
berhenti. Siapakah ini yang sangat degil tidak berhenti menelefon aku? Dengan perasaan kurang selesa, aku pun menjawab panggilan telefon bimbitku lalu mendengar suara Sultan yang sebak sekali.
“Ma... maaf...Maafkan Sultan...Sultan tidak dapat pegang tangan Hamida apabila dia...” kata-kata Sultan terputus.
Aku dapat mendengarnya menangis teresak-esak di hujung talian. Walaupun aku dapat menjangkakan apa yang mahu disampaikannya kepadaku, hatiku enggan mempercayai kemungkinan itu.
“Mengapa Sultan? Beritahu Mama,” aku pun mendorongnya untuk menyambung kata- katanya.
Saat demi saat, keadaan digigit kesepian yang amat menyiksa.
Namun, akhirnya, Sultan pun mengirim berita tentang kakaknya.
Berita itu buruk sekali. Berita yang menyayat hati. Perkhabaran yang disampaikan itu benar-benar mengguris hatiku dan telah menyebabkan bayang-bayang kesedihan dan kepiluan yang masih tercalit di wajah seluruh keluargaku.
“Hamida telah meninggal dunia”. Anakku telah diambil daripada aku.