Page 84 - Tinta Aksara 2021
P. 84
82
Setelah Ain keluar dari biliknya selepas lima jam dia menguncikan dirinya, aku mengajaknya makan masakan yang yang dikatakan lazat oleh rakan-rakan sepejabatku. Ayam lemak cili padi air tanganku memang dipuji-puji mereka. Ain sempat memandang hidangan yang ditutup dengan tudung saji buat sesaat lalu kembali ke biliknya.
Walaupun kelakuannya itu kurang sopan, aku faham. Memang bukan mudah untuk menerima orang asing sebagai ibunya. Aku meletakkan sepinggan nasi yang masih hangat bersertakan lauk ayam yang telah aku masak di atas dulang lalu melangkah ke arah pintu bilik yang tertutup.
“Ain, marilah makan. Mama sudah masakkan ni. Tidak baik biarkan rezeki macam ni. Marilah makan,” kataku sambil mengetuk pintu itu.
“Perempuan ni tidak habis-habis sibuk ajak makan! Ain kata tidak mahu, tidak mahulah! Asyik mengganggu Ain dari tadi, kenapa?” teriaknya sejurus dia membuka pintu itu.
Aku tersentak. Apakah salahku sehinggakan dia sanggup melayan aku seperti itu? Walaupun begitu, aku tetap tidak menyerah. Pasti ada cara yang boleh aku buat agar Ain menerima aku. Tidak kiralah jikalau hal ini mengambil masa setahun pun. Aku pasti dengan perlahan-lahan, dia akan menerima aku. Tiba-tiba, aku mendapat idea. Aku menelefon rumah anak yatim.
Ternyata idea aku berjaya. Mata Ain terbeliak. Terpancar perasaan gembira pada wajah Ain. Aku tersenyum. Aku dapat jangkakan Ain pasti merindui rakan-rakannya di rumah anak yatim itu. Aku dapat rasakan konon- kononnya naluri seorang ibu. Aku perhatikan rakan-rakan karib Ain juga kelihatan baik-baik belaka. Tidak salahlah jikalau Ain berjumpa dengan mereka. Bukan mudah untuk aku mencari mereka kerana mereka juga sudah mengikut keluarga angkat masing-masing.
Melihat senyuman manis Ain, aku bersyukur aku tidak bersikap drastik untuk meraih kasih sayang dan penerimaannya dengan
memarahi atau bertegas dengannya. Aku akur bahawa mengasuh dan mendidik anak bukanlah mudah. Bahkan, semakin mencabar dari sehari ke sehari. Pendekatan yang berbeza diperlukan dalam menangani kerenah anak-anak remaja. Pasti Ain dapat merasa ketulusan hatiku yang cuba sedaya upaya untuk memenangi hatinya.
Namun, sangkaanku meleset sekali. Aku fikir bahawa Ain sudah membuka hatinya untuk aku setelah aku bertungkus-lumus cuba untuk mendapatkan rakan-rakannya untuk datang menjenguknya sebulan selepas aku mengambilnya sebagai anak angkatku. Usahaku sia-sia sahaja. Ternyata aku dengan Ain masih dipisahkan oleh sebuah tembok.
Masa terus berlalu. Sudah tiga bulan aku hidup bersama Ain. Walaupun Ain sudi makan hidangan aku, dia masih tidak mahu memandang aku, apatah lagi berbual-bual dengan aku. Aku runsing. Apakah yang perlu aku lakukan supaya Ain sedar betapa besar harapanku agar dia menerimaku sebagai seorang ibu kandung. Namun, buat diriku yang sangat menyayangi Ain, perubahan itu sudah aku anggap sebagai suatu kejayaan.
Aku baring di atas sofa yang menghadap televisyen Samsung yang baru aku beli dua bulan lalu. Ain melabuhkan punggungnya di atas sofa yang sama. Aku terkejut. Lazimnya, dia tidak akan duduk pun di atas sofa itu kalau aku sedang duduk di situ.
“Ain nak tonton televisyenlah. Jangan harap Ain nak berbual pula,” dengus Ain lalu menghidupkan televisyen.
Harapanku bahawa Ain sudah semakin membuka hatinya untuk aku lesap dalam sekelip mata. Walaupun begitu, aku tetap tidak boleh berkeras dengannya. Aku pasti bahawa usahaku yang terus-menerus ini pasti akan terbalas dengan kejayaan yang kunanti-nantikan pada suatu hari nanti. Aku turut menonton rancangan drama yang amat digemari Ain walaupun aku tidak teruja melihat wajah-wajah pelakon yang sama sahaja.