Page 85 - Tinta Aksara 2021
P. 85
Selepas rancangan televisyen itu tamat, aku mengajak Ain bersembang. Dia kelihatan berat tetapi aku tetap memujuknya untuk duduk denganku. Aku juga manusia biasa. Aku mahu tahu sebabnya dia tidak mahu menerima aku. Mana tahu, aku juga boleh memperbaik diriku. Ain terus membisu. Aku mengeluh. Aku tahu bahawa Ain masih tidak dapat menerima aku.
“Ain, selama tiga bulan ini, Mama sudah cuba sedaya upaya agar Ain dapat menerima Mama sebagai ibu kandung Ain sendiri. Mama dah cuba pelbagai cara tetapi Ain masih tidak membuka hati Ain untuk menerima Mama. Ain tahu Mama sayangkan Ain, bukan?” tanyaku.
Luahan hati ini menjadi salah satu cara aku menyelami isi hatinya.
Dengan perlahan-lahan, Ain mengangguk- anggukkan kepalanya. Mulutnya terkancing. Dia cuba menyusun kata-katanya yang sudah terpendam di hatinya beberapa bulan ini. Menurut Ain, dia berkelakuan sebegitu kerana dia tidak pasti sama ada aku benar-benar menyayanginya atau sekadar menerimanya atas sebab belas kasihan. Katanya, dia tidak memerlukan simpati daripada sesiapapun.
Dia hanya mahu seorang ibu yang rela menerimanya seadanya. Ain tidak henti- henti meminta maaf daripada aku atas sikapnya yang biadab dan kata-kata yang menyakitkan yang dilemparkan ke atas aku. Dia sendiri sedar betapa sikap dinginnya telah mengecewakan aku.
Aku hanya mampu mengangguk tanda faham. Aku sedar bahawa bukan mudah untuk menerima orang luar sebagai pengganti ibu kandung sendiri. Aku tidak boleh memaksanya untuk menerima aku. Tiada jalan pintas. Aku juga tidak akan membiarkan diriku dirundung kekecewaan kerana gagal memenangi hati Ain. Belum tiba masanya untuk Ain menerima aku sepenuhnya.
Keadaan menjadi senyap. Tiba-tiba Ain bangkit dari tempat duduknya.
“Mama, boleh tolong masakkan Ain ayam lemak cili padi lagi?” Kali ini, Ain tolong mama di dapur. Tanyanya sambil tersengih- sengih.
Senyuman kecil terukir di bibirku. Aku menekup mulutku bagaikan tidak percaya. Panggilan ‘Mama’ sudah cukup untuk membuktikan kejayaan yang baru aku raih.
83