Page 4 - Nilai Shahid al-Quran
P. 4
NILAI SHAHID AL-QURAN DALAM TASHIL NAYL AL-AMANI
ABSTRAK
Rentetan daripada teori Nahu al-Quran yang diperkenalkan sejak tiga dekad yang lalu,
banyak kajian Shahid al-Quran (SQ) dalam tatabahasa Arab telah dilakukan. Tumpuan
kajian berkenaan adalah kepada karya tokoh Arab, pola, fungsi dan tawjih SQ tanpa
memfokuskan nilai di sebalik penggunaan SQ dalam karya sarjana Nusantara.
Objektif kajian ini adalah untuk menjelaskan sumbangan Sheikh Ahmad al-Fatani
(SA) terhadap perkembangan tatabahasa Arab di Nusantara, pengaruh kitab Tashil
Nayl al-Amani (Tashil) pada abad ke-21 dan penerokaan nilai pola, fungsi dan tawjih
SQ serta nilai-nilai lain berdasarkan penggunaan SQ dalam karya berkenaan. Kajian
ini merupakan kajian kes yang menggunakan pendekatan kualitatif. Data utama kajian
diperoleh daripada analisis kandungan yang disokong oleh data pemerhatian dan temu
bual. Kesemua data dianalisis secara deskriptif di samping analisis tematik
berdasarkan lima buah tema nilai yang ditetapkan, iaitu Thaqafah Islamiyyah,
Pengaruh, Akademik, Mudah dan Mesra. Dapatan kajian menunjukkan sumbangan
SA sebagai pakar rujuk akidah, ahli tatabahasa al-Quran dan pencetus semangat cinta
al-Quran dalam usaha beliau mengembangkan tatabahasa Arab di Nusantara.
Pengaruh kitab Tashil pada abad ke-21 pula dikesan daripada kesesuaian kitab ini
sebagai rujukan asas tatabahasa, sanad pengajian yang teguh dan dipercayai, sambutan
percetakan dan pengajian kitab ini dilakukan sehingga ke hari ini. Manakala nilai yang
diperoleh daripada pola, fungsi dan tawjih SQ adalah Mudah dan Akademik.
Penggunaan SQ dalam kitab Tashil secara keseluruhannya pula telah menepati lima
buah tema nilai yang ditetapkan, dengan Thaqafah Islamiyyah menjadi tema nilai
yang paling dominan. Di samping itu, penemuan dua lagi tema nilai, iaitu Berkat dan
Taufik terhasil melalui temu bual bersama peserta kajian. Implikasi kajian terhadap
c
teori dan pedagogi pengajaran tatabahasa Arab ialah tambahan aspek i jaz rasmi dan
ta'thiri dalam analisis mukjizat al-Quran dan penerapan nilai SQ ke dalam aktiviti
pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) tatabahasa. Di samping itu, kajian turut
menyumbang Kad Bitaqah Tadabbur al-Quran (BTQ) dan kitab Tashil yang
dikemaskini dengan takhrij SQ.
iii